SILVA ketika beraksi dalam saingan Liga Super di Stadium Darul Makmur. -FOTO Farizul Hafiz Awang
SILVA ketika beraksi dalam saingan Liga Super di Stadium Darul Makmur. -FOTO Farizul Hafiz Awang
Asrol Awang

Kuantan: Harapan menyaksikan gandingan penyerang import baharu Sri Pahang FC, Rafael Silva bersama Kpah Sherman pada perlawanan menentang Sabah FC di Stadium Likas malam esok ini, belum dimuktamadkan.

Pengendali Tok Gajah, Fandi Ahmad berkata, beliau belum pasti sama ada dapat menggandingkan pemain Brazil itu bersama Sherman untuk memperkasakan jentera serangan skuad itu.

"Setakat ini saya belum pasti dua penyerang import ini akan bergandingan untuk merobek gawang tuan rumah Sabtu ini," kata legenda bola sepak Singapura itu.

Pada perlawanan berdepan Selangor FC pada 9 Julai lalu, Fandi menurunkan Rafael pada 10 minit terakhir perlawanan bagi menguji permainan penyerang itu.

Ditanya peluang untuk mencuri tiga mata di tempat lawan, Fandi berkata, segalanya bergantung sepenuhnya kepada disiplin dan semangat juang tinggi yang akan dipersembahkan pemain.

Katanya, pemain yang harus diberikan tumpuan ialah pemain tengah, Saddil Ramdani yang mampu memberi ancaman di bahagian pertahanan.

"Harapan saya semoga pemain melupakan kemenangan ke atas Selangor dan memberikan sepenuh kepada Sabah.

"Pada masa sama, Sri Pahang seri 1-1 berdepan Sabah di Kuantan pada 12 Mac lalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Julai 2023 @ 1:22 PM