PEMAIN Sri Pahang FC menjalani latihan di Stadium Darul Makmur, Kuantan. FOTO Sri Pahang FC
PEMAIN Sri Pahang FC menjalani latihan di Stadium Darul Makmur, Kuantan. FOTO Sri Pahang FC
Asrol Awang


Kuantan: Pengendali Sri Pahang FC, Fandi Ahmad mahu anak buahnya tenang apabila berdepan Penang FC di Stadium Darul Makmur, petang esok.

Legenda bola sepak Singapura itu berkata, bukan sahaja ketahanan fizikal, malah mental juga diberikan fokus utama apabila beraksi pada waktu petang.

"Apa yang penting adalah daripada segi mental kerana akan bermain dalam keadaan cuaca panas. Setakat ini persediaan yang dilakukan begitu positif terutama untuk memanfaatkan kelebihan beraksi di halaman sendiri.

"Saya harap pemain dapat bermain dengan tenang dan beraksi dengan penuh keyakinan. Seharusnya peluang yang ada tidak dipersia-siakan untuk memastikan kemenangan milik Sri Pahang," katanya.

Mengulas prestasi semasa pasukan lawan, Fandi mengakui lawannya itu berada prestasi terbaik kerana memiliki semangat juang tinggi dan untuk itu beliau mahu pemain Sri Pahang perlu lebih berwaspada dengan kebangkitan yang dijangka dipersembahkan lawan.

"Bagi saya pasukan Penang kini begitu bersemangat dan sedang bangkit kerana memiliki beberapa pemain yang bijak bertindak," katanya.

Pada perlawanan esok, Sri Pahang dijangka mempertaruhkan dua penyerang import, Kpah Sherman dan Lucas Silva untuk membolosi gawang Penang namun skuad Tok Gajah tidak dapat menyenaraikan Nor Azam Azih dan Stefano Brundo akibat kecederaan dan penggantungan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Mei 2023 @ 4:57 PM