NOOR Azman Rahman. FOTO  OWEE AH CHUN
NOOR Azman Rahman. FOTO OWEE AH CHUN
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Palestin dan Lubnan tidak berdepan sebarang halangan untuk menyertai Pestabola Merdeka walaupun kedua-dua pasukan diundi dalam kumpulan sama pada aksi pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Noor Azman Rahman berkata, pihaknya tidak menerima surat penarikan diri daripada Palestin dan Lubnan sebaik kedua-dua pasukan itu diundi dalam kumpulan I bersama Australia dan Maldivies/Bangladesh.

Katanya, pihaknya sentiasa berhubung dengan kedua-dua pasukan terbabit dan setakat ini tiada perubahan membabitkan penyertaan di kejohanan Pestabola Merdeka yang bakal berlangsung Oktober ini.

"FAM hanya menerima surat daripada Palestin yang mengatakan mereka diundi bersama Lubnan dalam kumpulan I. Namun, pasukan itu tidak menyatakan ingin menarik diri berdasarkan undian terbabit.

"Apa yang boleh saya katakan, penyertaan pasukan pada Pestabola Merdeka masih kekal dan tiada perubahan seperti didakwa sesetengah pihak.

"Penyertaan Palestin dan Lubnan pada kejohanan itu tidak ada masalah walaupun diundi dalam satu kumpulan. Jika mereka bersetuju, seharusnya tidak ada isu," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum ini, terdapat laporan mendakwa saingan Pestabola Merdeka pada tahun ini kemungkinan akan berlangsung tanpa kelibat pasukan di ranking 96 (Palestin) dan 100 dunia (Lubnan) itu.

Ini kerana kedua-dua pasukan tersebut diundi dalam satu kumpulan yang sama untuk aksi pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 sekali gus tidak boleh bertemu dalam perlawanan persahabatan antarabangsa.

Mengikut rekod, setakat ini hanya India sahaja mengesahkan penyertaan mereka dalam Pestabola Merdeka yang bakal diadakan pada 9 sehingga 17 Oktober iaitu ketika kalendar perlawanan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) selepas tamatnya saingan Piala Malaysia 2023.

Semua perlawanan Pestabola Merdeka akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil yang ketika ini dalam proses penukaran rumput jenis Zeon Zoysia.

Pestabola Merdeka dijadikan sebagai medan persediaan untuk skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan-gon yang bakal beraksi dalam temasya Piala Asia 2023 di Qatar tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Ogos 2023 @ 4:04 PM