GOULON (kiri) berebut bola dengan Mamut (tengah) pada perlawanan malam ini. FOTO GHAZALI KORI
GOULON (kiri) berebut bola dengan Mamut (tengah) pada perlawanan malam ini. FOTO GHAZALI KORI
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Terengganu FC (TFC) kempunan meraih kemenangan selepas seri 1-1 dengan Negeri Sembilan FC (NSFC) pada aksi ke-18 Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, malam ini.

Beraksi di depan lebih 5,000 peminat setia tuan rumah, skuad pelawat kendalian K Devan terlebih dahulu mendapat peluang keemasan menerusi sepakan penalti selepas bola sepakan Filemon Standly terkena tangan pertahanan tengah, Muhammad Shahrul Nizam Ros Hasni pada minit kelima.

Bagaimanapun, sepakan pertahanan import, Herold Goulon ditampan penjaga gol TFC, Mohd Suhaimi Husin yang merebahkan badan di sebelah kanan pintu gol.

Sepanjang babak pertama, perlawanan didominasi skuad Penyu dengan skuad Hobin Jang Hobin lebih banyak bertahan.

Namun, TFC yang meletakkan dua pemain import, Ivan Mamut dan Sony Norde untuk mengetuai jentera serangan gagal menterjemahkan jaringan.

Pengendali TFC, Tomislav Steinbruckner memasukkan dua tenaga baharu, Nik Muhamad Sharif Haseefy Mohd Lazim dan Engku Muhammad Nur Shakir Engku Yacob bagi menggantikan Nor Hakim Hassan dan Omid Nazari pada babak kedua, selepas terikat 0-0 ketika rehat.

Akhirnya gol yang dicari tuan rumah hadir pada minit ke-66 selepas bola hantaran Norde ditanduk masuk oleh Mamut.

Pada minit ke-78, penyerang kelahiran Croatia itu berpeluang untuk menambah jaringan kedua peribadinya dan pasukan, namun gagal memperdaya penjaga gol lawan walaupun berdepan satu lawan satu.

Goulon akhirnya muncul watak pemusnah apabila menanduk masuk gol penyamaan pada minit ke-89, menyaksikan kedudukan 1-1 terikat sehingga wisel penamat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Julai 2023 @ 11:10 PM