MAMUT (tengah) cuba melepasi dua pemain Stallion Laguna FC pada perlawanan Piala AFC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, petang ini. FOTO GHAZALI KORI
MAMUT (tengah) cuba melepasi dua pemain Stallion Laguna FC pada perlawanan Piala AFC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, petang ini. FOTO GHAZALI KORI
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Terengganu FC (TFC) bangkit daripada ketinggalan dua gol sebelum mengikat kelab Filipina, Stallion Laguna FC, 2-2 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, sebentar tadi.

Keputusan itu menyaksikan TFC kekal di kedudukan kedua Kumpulan G saingan Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dengan lima mata manakala pelawat memperoleh mata pertama selepas tiga perlawanan.

Terdahulu, Stallion yang dikendalikan Ernest Nierras mengejutkan TFC menerusi gol pembukaan pada minit keenam menerusi sepakan percuma Griffin McDaniel yang gagal diselamatkan penjaga gol, Suhaimi Husin.

Ketinggalan satu gol, TFC melakukan serangan balas, namun percubaan Sony Norde dan Engku Shakir Engku Yacob gagal menembusi kubu pelawat dikawal Hayeson Pepito.

Sebaliknya, pelawat yang lebih banyak mendominasi permainan menambah jaringan kedua pada ke-40 menerusi Ngong Stephen.

Jaringan itu berpunca daripada percubaan Juan Trujillo yang ditampan Suhaimi sebelum Stephen mudah merembat masuk untuk pasukannya mendahului 2-0.

Beberapa saat sebelum babak pertama ditamatkan pengadil dari Lebanon, Ali Reda, Norde merapatkan kedudukan buat TFC apabila mudah menolak masuk gol pertama tuan rumah.

Gol itu berpunca daripada hantaran Ivan Mamut kepada Engku Shakir Engku Yacob yang terkena pertahanan pelawat sebelum bola singgah di kaki pemain kelahiran Haiti itu untuk menjadikan kedudukan 2-1.

Bersambung babak kedua, pengendali skuad Penyu, Tomislav Steinbruckner memasukkan dua tenaga baharu, Mohd Nor Hakim Hassan dan penyerang kebangsaan Thailand, Adisak Kraisorn bagi menggantikan Nik Muhamad Sharif Haseefy Mohd Lazim dan Engku Shakir.

Akhirnya gol diidamkan TFC menjelma pada minit ke-91 menerusi Adisak yang menggamatkan lebih 2,000 peminat setia TFC apabila tandukannya hasil hantaran Norde menerjah jaring untuk menjadikan kedudukan 2-2.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Oktober 2023 @ 6:18 PM