PEMAIN Terengganu FC meraikan kemenangan di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
PEMAIN Terengganu FC meraikan kemenangan di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Nor Amalina Alias


Kota Bharu: Hasrat Kelantan FC untuk terus menikmati kemenangan terencat apabila parah dibelasah Terengganu FC (TFC) 0-8 dalam saingan Liga Super, malam ini.   

Kelantan dibolosi tiga jaringan hasil tandukan daripada keseluruhan lapan gol yang dihasilkan pelawat.  

Jaringan sulung skuad penyu hadir menerusi tandukan jarak dekat Ivan Mamut meletakkan pelawat di depan pada minit ke-13. 

Minit ke-27, anak buah Tomislav Steinbruckner menggandakan jaringan menerusi hantaran cantik Sony Norde yang tepat ke Nurillo Tukhtasinov untuk menanduk masuk bola. 

Kesilapan penjaga gol Kelantan, Muhammad Irfan Haikal Mohd Affendi membuat lorongan solo ke luar kotak penalti dihukum dengan larian pantas Nik Muhammad Sharif Haseefy Mohd Lazim untuk menyumbat gol ketiga TFC, minit ke 35. 

Lima minit berselang, gawang The Red Warriors (TRW) terus dirobek dengan tandukan Engku Muhammad Nur Shakir Engku Yacob@Engku Azman hasil sepakan sudut Sony Norde untuk gol keempat Terengganu.  

Keputusan 0-4 kekal hingga babak pertama berakhir dengan perlawanan tertunda selama sejam setengah akibat hujan lebat.  

Sebaik sepak mula babak kedua, Terengganu garang dengan percubaan Norde sekali lagi namun bola ditampan Muhammad Irfan.  

Minit ke-46,Muhammad Safwan Mazlan menyepak mudah bola ke gawang The Red Warriors (TRW) untuk gol kelima sang penyu.  

Gol kedua Ivan Mamut menyaksikan pelawat berpesta gol dengan jaringan keenam mengecewakan 1,620 penonton di stadium minit ke- 53.  

Pelawat mengesahkan kemenangan dengan sepakan deras pemain gantian, Mohamad Hakimi Abdullah untuk gol ketujuh minit ke-63 dan hatrik Mamut minit ke-66 untuk gol kelapan Terengganu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Ogos 2023 @ 1:04 AM