KANE kembali ke pusat latihan Spurs, hari ini, sekalipun masa depannya di kelab itu masih tidak menentu. FOTO AGENSI
KANE kembali ke pusat latihan Spurs, hari ini, sekalipun masa depannya di kelab itu masih tidak menentu. FOTO AGENSI
Agensi

London: Harry Kane kembali untuk latihan pramusim Tottenham dengan tiga kelab dikatakan bersaing untuk mendapatkan tandatangannya.

Penyerang itu dilihat berada di padang latihan kelabnya, harai ini, sekalipun masa depannya masih tidak menentu.

Kane menjadi perbualan susulan dakwaan tiga kelab gergasi iaitu Manchester United, Paris Saint-Germain dan Bayern Munich berminat mendapatkannya.

United belum mengemukakan tawaran rasmi, tetapi mereka terdesak untuk mendapat penyerang baharu dan dikaitkan dengan kapten England itu kebelakangan ini.

RMC Sport mendakwa Kane menjadi sasaran utama PSG dan mereka bersedia membuat tawaran £85 juta (RM513.56 juta).

Terdapat spekulasi kelab Ligue 1 itu akan menjual Kylian Mbappe pada musim panas ini bagi mengelak kehilangan penyerang itu secara percuma, tahun depan.

Langkah itu bukan saja membuka ruang, malah dana untuk mendapatkan Kane.

Penyerang Juventus, Dusan Vlahovic dikhabarkan menjadi pilihan kedua seandainya mereka gagal memujuk Spurs supaya menjual Kane.

Sementara itu, Bayern sedia menawarkan antara £77 juta (RM465.23 juta) dan £81 juta (RM489.39) dan L'Equipe mendakwa, gergasi Jerman itu sanggup menawarkan £85 juta (RM513.56 juta) bagi mendapatkan sasaran utama mereka itu.

Tottenham berkeras enggan menjual Kane sekalipun pemain itu masih memiliki baki kontrak selama setahun lagi.

Malah, difahamkan Spurs meletakkan tanda harga £100 juta (RM604.19 juta) bagi kelab yang berminat mendapatkan penyerang berusia 29 tahun itu.

Bayern Munich dilaporkan sudah membuat bidaan sebanyak dua kali pada harga £70 juta (RM422.93 juta) dan perbincangan antara pengurusnya, Thomas Tuchel dan Kane dijangka tiada masalah berkaitan terma peribadi.

Bagaimanapun, Pengerusi Spurs, Daniel Levy masih berharap kelab itu dapat mengikat Kane dengan kontrak baharu berjumlah £400,000 (RM2.41 juta) seminggu, sekali gus menjadi pemain kedua menerima bayaran tertinggi di Liga Perdana Inggeris (EPL).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Julai 2023 @ 10:11 PM