MANE kurang menyerlah di Jerman.
MANE kurang menyerlah di Jerman.
Agensi

London: Bayern Munich dilapor sedia menjual Sadio Mane dengan harga hanya £17 juta (RM102 juta) pada musim panas ini.

Mane, 31, menyertai gergasi Bundesliga itu dengan harga £35 juta (RM210 juta) dari Liverpool dan menandatangani kontrak tiga tahun.

Pemain sayap itu menjaringkan 12 gol dalam 38 penampilan sepanjang musim pertamanya di Jerman tetapi menurut Sky Sports, dia mungkin dijual sebelum kempen 2023-24 bermula.

Bayern Munich sedia melepaskan Mane serendah £17 juta, kurang separuh daripada yuran dibayar mereka untuk mendapatkannya pada musim panas lalu.

Gergasi Jerman terbabit juga berharap dapat menjual Benjamin Pavard, Marcel Sabitzer, Ryan Gravenberch, Bouna Sarr, Alexander Nube dan Yann Sommer dalam usaha meraih dana pembelian Harry Kane.

Bayern berusaha menandatangani penyerang itu sejak jendela perpindahan dibuka tetapi pengerusi Tottenham Daniel Levy enggan melepaskannya.

Laporan mendakwa Spurs menolak bidaan awal sekitar £60 juta (RM361 juta) bulan lalu walaupun kelab kemudiannya menafikan menerima bidaan rasmi.

Bayern Munich kini sedia menawarkan bidaan baharu lebih menarik berjumlah £70 juta (RM421 juta) berserta tambahan lain.

Kane dikatakan sedia menyertai juara Bundesliga itu dengan terma peribadi sudah pun dicapai.

Penyerang England itu kini berbaki kurang setahun kontraknya bersama Tottenham, bermakna dia boleh berpindah dengan yuran percuma pada musim panas depan jika enggan menandatangani kontrak baharu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Julai 2023 @ 8:34 AM