KANE hanya tinggal setahun kontrak dengan Spurs.
KANE hanya tinggal setahun kontrak dengan Spurs.
Agensi

London: Harry Kane membina kediaman mewah baru, hanya 24 kilometer dari Pusat Latihan Cobham milik Chelsea yang sekali gus meningkatkan spekulasi masa depannya.

Kane yang berusia 30 tahun bulan depan hanya berbaki setahun kontrak dengan Tottenham dan beberapa kelab berminat menandatanganinya.

Bidaan £70 juta (RM411 juta) daripada Bayern Munich untuk mendapatkan kapten England itu tidak berjaya selepas Spurs mahu dia kekal bersama mereka.

Bakal pengurus Chelsea Mauricio Pochettino bekerja dengan Kane ketika tempoh lima setengah tahun dia mengendalikan Tottenham.

Pengendali dari Argentina itu memainkan peranan penting mengasah dan memajukan bakat penyerang itu dan peluang kembali bekerjasama dengan Pochettino boleh menarik minat Kane.

Manchester United dan Real Madrid turut dikaitkan dengan Kane. Tottenham perlu memutuskan sama ada mahu menjual pemain berharga mereka itu atau cuba memujuknya menandatangani kontrak baharu dalam tempoh 12 bulan lagi dengan risiko kehilangannya menerusi perpindahan percuma.

Seperti dilaporkan The Telegraph, Kane membina rumah mewahnya berhampiran Kelab Golf Wentworth di Surrey. Kelab golf terkenal itu menjadi ibu pejabat Jelajah Dunia DP dan menganjurkan Kejohanan PGA setiap tahun hanya terletak 24km dari Cobham.

Kane juga peminat tegar sukan golf dan mungkin membina kediaman selepas persaraannya. Namun berita pembinaan rumah agam itu mencetuskan tanda tanya kepada peminat Chelsea sama ada mereka boleh mendapatkan penyerang prolifik itu dengan perpindahan percuma selepas kontraknya tamat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Jun 2023 @ 9:52 PM