KANE mahu meninggalkan Spurs bagi menamatkan kemarau trofi. FOTO AFP
KANE mahu meninggalkan Spurs bagi menamatkan kemarau trofi. FOTO AFP
Agensi

London: Harry Kane memberikan tamparan hebat buat Manchester United apabila penyerang England itu dikatakan mahu menyertai Bayern Munich pada musim panas ini.

Malah, kelab Jerman itu yakin dapat menandatangani bintang Tottenham itu dengan harga hanya £85 juta (RM503.96 juta) berbanding £100 juta (RM592.89 juta) yang ditawarkan Man United.

Kapten England itu kini memiliki baki kontrak setahun lagi dengan Spurs dan Kane, 29, memang setia dengan kelab London itu apabila menjaringkan 280 gol sejak membuat penampilan sulung 12 tahun lalu.

Tetapi, malangnya, dia belum pernah memenangi sebarang trofi domestik dan apabila Tottenham terlepas aksi di Eropah, Kane kini berharap untuk berpindah untuk menamatkan kemarau kejuaraan.

Man United dikatakan destinasi paling hampir dengannya apabila pengurus, Erik ten Hag amat memerlukan penyerang baru.

Real Madrid turut dikaitkan dengan Kane selepas Karim Benzema memperoleh tawaran lumayan bersama kelab Arab Saudi.

Bagaimanapun, Sky Germany mendakwa, Bayern kini mendahului persaingan untuk mendapatkan Kane.

Pengurus Bayern, Thomas Tuchel sudah lama meminati penyerang itu yang beberapa kali terpaksa berdepan dengannya ketika menjadi pengurus Chelsea.

Sama seperti United, Bayern turut perlukan penjaring gol utama selepas kehilangan Robert Lewandowski ke Barcelona, musim panas lalu.

Mereka nyaris terlepas gelaran Bundesliga ke-11 berturut-turut dan bernasib baik apabila Borussia Dortmund melakukan kesilapan pada hari terakhir saingan.

Justeru, Bayern kini menjadikan Kane sebagai sasaran utama dan peluang mereka cerah apabila penyerang itu tidak menolak idea bermain untuk Bayern.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Julai 2023 @ 11:55 AM