HARRY Kane kini menjaringkan empat gol buat England di Euro 2020 dan mengetuai pasukan di final menentang Itali di Wembley, hari ini. - FOTO AFP
HARRY Kane kini menjaringkan empat gol buat England di Euro 2020 dan mengetuai pasukan di final menentang Itali di Wembley, hari ini. - FOTO AFP
Agensi

London: Manchester United dilaporkan tidak akan meneruskan rundingan untuk mendapatkan penyerang Tottenham Hotspur, Harry Kane pada musim panas ini.

Kapten England itu dilaporkan mahu memburu trofi utama pertama di peringkat kelab, tetapi pengerusi Spurs, Daniel Levy dijangka menolak tawaran kurang daripada RM867 juta (£150 juta) daripada pasukan berminat.

Pada masa sama, United sudah setuju menyambung kontrak penyerang sedia ada, Edinson Cavani, dan Ole Gunnar Solskjaer dijangka mengutamakan posisi lain pada perpindahan musim panas ini.

Laporan terbaharu mendakwa Red Devils bercadang menawarkan RM578,113,500 (£100 juta) bersama pemain untuk mendapatkan Kane, tetapi The Express mendakwa perancangan itu dikatakan sebagai mengarut.

Ia turut mendakwa Solskjaer menumpukan usaha untuk mendapatkan bek tengah dan pemain tengah selepas berjaya mendapatkan Jadon Sancho dari Borussia Dortmund, manakala Mason Greenwood dijangka mendapat lebih banyak peluang beraksi musim depan.

Kane menjaringkan empat gol di Euro 2020 setakat ini dan mengetuai Three Lions berdepan Itali di final di Wembley, hari ini.

Sementara itu, Tottenham Hotspur dilaporkan mahu pemain tengah, Jesse Lingard dimasukkan dalam sebarang tawaran United terhadap Kane.

Levy terdesak untuk memastikan Kane kekal walaupun pemain itu menyuarakan keinginan berpindah dan United dikatakan akan memenangi usaha mendapatkan Kane.

Berdasarkan laporan Football Insider, pengendali baru Spurs, Nuno Espirito Santo dikatakan mahu wang tunai dan dua pemain sebagai pertukaran dengan Kane dan Lingard adalah salah seorang pemain disebut-sebut.

Berikutan gagal mendapat tempat di United, Lingard menghidupkan semula kariernya dengan sembilan gol dan lima umpanan jaringan dalam 16 penampilan Liga Perdana Inggeris ketika dipinjamkan ke West Ham United.

Tetapi, dia dikatakan masih berada dalam perancangan Solskjaer dan pemain berusia 28 tahun itu akan memasuki tahun terakhir kontraknya bersama juara Inggeris 20 kali itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Julai 2021 @ 1:47 AM