SKUAD TFC  menjalani latihan di bawah kendalian Tomislav Steinbruckner. FOTO TFC
SKUAD TFC menjalani latihan di bawah kendalian Tomislav Steinbruckner. FOTO TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Terengganu FC (TFC) sudah bersedia menghadapi cabaran sengit daripada pencabar lain dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) terutama selepas berjaya melengkapkan senarai pemain.

Dua tonggak import kelahiran Croatia, Ivan Mamut yang beraksi di posisi penyerang dan pemain tengah, Damagoj Pusic menjadi pemain terakhir 'dirantai' naib juara Piala FA dan Liga Super musim lalu itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Ab Rasid Jusoh berkata, berdasarkan senarai pemain yang ada, skuad TFC sudah lengkap untuk mengharungi saingan sengit Liga M musim ini dan mereka sudah menjalani latihan sejak 24 Disember lalu.

Bagaimanapun katanya, jika ada pemain tempatan yang berminat dan berkelayakan untuk menyarung jersi skuad TFC, 'pintu' buat mereka masih lagi dibuka.

"Kita sudah mempunyai pasukan yang lengkap untuk mengharungi kancah Liga M selain Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) musim ini yang pasti lebih mencabar berbanding tahun sebelumnya.

"Walau bagaimanapun sekiranya ada pemain tempatan yang berminat dan layak untuk menyarung jersi TFC selepas dinilai barisan kejurulatihan, kita masih lagi membuka pintu buat mereka.

"Ini kerana saingan musim 2023 berbeza berbanding tahun sebelum ini, pemain perlu beraksi banyak perlawanan kerana pertambahan pasukan, situasi ini sekali gus boleh memenatkan pemain.

"Jadi dengan pemain yang ada, jurulatih mempunyai kaedah tersendiri untuk mengatasinya termasuk melakukan penggiliran pemain bagi mengelak keletihan yang sekali gus boleh mengundang kecederaan," katanya ketika ditemui di pejabat kelab berkenaan.

Musim ini skuad kendalian jurulatih kelahiran Croatia, Tomislav Steinbruckner hanya 'memancing' seorang pemain tempatan iaitu Nik Muhammad Sharif Haseefy Mohd Lazim yang juga pemain pinjaman skuad itu musim lalu daripada Selangor FC.

Manakala selebihnya pengendali berusia 57 tahun yang lebih mesra dipanggil Tommy menaikkan 'pangkat' ramai pemain muda daripada pasukan 'adik' Terengganu FC II (TFC II) selain mengekalkan ramai pemain sedia ada.

Selain dua pemain import kelahiran Croatia itu, TFC turut menyenaraikan pemain kebangsaan Thailand Adisak Kraisorn, Surdor Kulmatov (Uzbekistan), Sony Norde (Haiti), Habib Haroon (Bahrain) selain mengekalkan tiga pemain yang masih berbaki kontrak iaitu Jordan Mintah, Luke Woodland dan Argzim Redzovic.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 January 2023 @ 3:00 PM