PENYERANG TFC, Ivan Mamut enggan melayan khabar angin dikaitkan ke Selangor FC musim depan. FOTO Ghazali Kori
PENYERANG TFC, Ivan Mamut enggan melayan khabar angin dikaitkan ke Selangor FC musim depan. FOTO Ghazali Kori
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pemain import Terengganu FC (TFC), Ivan Mamut enggan melayan khabar angin yang mengaitkannya berhijrah bersama pasukan Selangor FC pada musim depan.

Jelas pemain kelahiran Croatia yang baharu semusim beraksi dalam kancah Liga Malaysia (Liga M), fokusnya kini adalah untuk berehat terlebih dahulu sebelum membuat keputusan muktamad.

Bagaimanapun hatinya dikatakan sudah terpaut untuk terus menyarung jersi TFC lebih-lebih lagi mendapat bimbingan jurulatih kelahiran negaranya, Tomislav Steinbruckner yang dikekalkan pengurusan skuad itu pada musim depan.

Lagipun sebelum ini pihak pengurusan TFC membayangkan akan hanya mengekalkan dua daripada lapan tonggak import termasuk Mamut dan pemain tengah kelahiran Uzbekistan, Nurillo Tukhtasinov manakala Argzim Redzovic dalam proses naturalisasi.

"Ya, buat masa sekarang memang saya sudah berbincang dengan pengurusan TFC, akan tetapi untuk ke mana pada musim depan saya belum boleh memberikan keputusan.

"Saya ada dengar juga khabar angin ke Selangor FC, tapi saya tidak mahu untuk bercakap lebih lanjut tentang perkara ini kerana mahu berehat terlebih dahulu.

"Selepas berakhir kontrak dalam beberapa hari sahaja lagi, saya akan maklumkan destinasi saya pada musim depan," katanya ketika dihubungi.

Mamut yang sebelum ini ketandusan jaringan pada awal musim dan sering dikritik peminat sendiri, berada pada tahap terbaik dalam kariernya bersama TFC selepas mengumpul 22 gol dalam 32 penampilannya bersama skuad itu.

Malah pemain itu berada dalam senarai sepuluh pemain popular dan terbaik dalam negaranya pada Disember.

Justeru tidak hairan selain TFC dan Selangor FC, beberapa pasukan lain turut dikatakan berminat untuk mendapatkan khidmat pemain berusia 26 tahun itu yang membantu skuad Penyu muncul naib juara Piala Malaysia pada musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Disember 2023 @ 12:42 PM