BEKAS pemain Selangor FC, Nor Hakim Hassan  menjalani latihan bersama TFC. FOTO TFC
BEKAS pemain Selangor FC, Nor Hakim Hassan menjalani latihan bersama TFC. FOTO TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: "Belum muktamad lagi." Demikian menurut sumber Terengganu FC (TFC) ketika ditanya mengenai kelibat dua pemain import kelahiran Tajikistan, Ehson Panjshanbe dan Akhtam Nazarov yang dikatakan bakal diikat skuad Penyu pada jendela kedua perpindahan pemain yang bakal membuka tirainya pada Rabu depan.

Jelas sumber itu, setakat ini kehadiran dua pemain itu belum dimuktamadkan lagi kerana pintu jendela kedua perpindahan pemain masih lagi panjang iaitu sehingga 1 Ogos depan.

Terdahulu Panjshanbe yang beraksi di jentera tengah kelab Istiklol dalam Liga Tajikistan dan pemain pertahanan kelab Andijan FC dalam Liga Uzbekistan, Nazarov dikaitkan bakal menyarung jersi skuad Penyu.

Selain berlegar dalam laman sosial, nama dua pemain itu turut dimuatkan dalam saluran YouTube yang mendakwa pemain itu serta seorang pemain tempatan yang kini berkelana bersama kelab Liga Divisyen 2, Korea Selatan, Chungbuk Cheongju FC, R Kogileswaran bakal mewarnai pasukan TFC.

Dua pemain import itu dijangka menggantikan tempat pemain pertahanan Uzbekistan, Sardor Kulmatov yang kerap memanaskan bangku simpanan selepas dibelenggu kecederaan serta pemain tengah, Domogoj Pusic yang gagal memberikan impak maksimum buat pasukannya.

"Setakat ini dua pemain import Tajikistan itu masih belum muktamad lagi sama ada bakal menyarung jersi TFC atau sebaliknya.

"Jadi harap peminat setia TFC bersabar menanti pengumuman rasmi daripada kelab," jelas sumber itu ketika dihubungi hari ini.

Jika benar dua pemain import itu menyarung jersi TFC, ia bakal memberikan nafas baharu buat skuad Penyu yang sebelum ini dilihat tidak begitu konsisten lebih-lebih lagi bakal beraksi dalam saingan Piala AFC Ogos ini selain mengharungi baki saingan Liga M.

Sebelum ini pengendali skuad itu, Tomislav Steinbruckner menjelaskan beliau bakal melakukan rombakan dalam pasukannya dengan membawa masuk pemain import dan tempatan yang baharu bagi memperkasakan lagi pasukan.

Setakat ini hanya seorang pemain tempatan iaitu bekas pemain Selangor FC, Nor Hakim Hassan sudah menjalani latihan bersama skuad TFC.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Jun 2023 @ 4:27 PM