TEN Hag (tengah) ketika mengendalikan pasukannya di sesi latihan. FOTO Manchester United
TEN Hag (tengah) ketika mengendalikan pasukannya di sesi latihan. FOTO Manchester United
Agensi

London: Tahun lalu, Manchester United berbelanja besar sekitar £220 juta (RM1.3 bilion) pada musim panas di bawah pengurus baharu, Erik ten Hag.

Mereka berjaya mendapatkan pemain seperti Tyrell Malacia, Christian Eriksen dan Lisandro Martinez selain gandingan Brazil, Casemiro dan Antony sebelum jendela perpindahan ditutup pada September.

Namun selepas setahun, poket United agak terhad dan mereka masih lagi berusaha untuk mendapatkan pemain baharu.

Mason Mount sudah ditandatangani dari Chelsea menerusi perjanjian bernilai sehingga £60 juta (RM359.8 juta) dan perbincangan diteruskan bersama Inter Milan serta Atalanta untuk mendapatkan penjaga gol, Andre Onana dan penyerang, Rasmus Hojlund di mana ia memungkinkan kelab perlu berbelanja sekitar £150 juta (RM899.5 juta).

Masalahnya ialah, United terikat dengan bajet perpindahan Fair Play Kewangan bernilai £120 juta (RM719.6 juta) yang menjelaskan mengapa kelab itu lebih berhati-hati untuk memilih membeli pemain.

United cuba berjimat untuk setiap sen dalam usaha mendapatkan pemain yang disasarkan Ten Hag dan atas faktor itulah mereka cuba mendapatkan Hojlund berbanding Harry Kane yang terlalu mahal harganya.

Itulah sebabnya juga United cuba mengekalkan David de Gea walaupun kontraknya sudah berakhir, mengikat Tom Heaton selama setahun lagi dan menangguhkan perpindahan Dean Henderson ke Nottingham Forest sambil mengejar Onana.

Realitinya adalah United perlu memastikan semua pilihan masih terbuka ketika mereka cuba untuk beroperasi dalam bajet yang sangat terhad.

United juga sedang mempertimbangkan pilihan untuk mendapatkan penjaga gol lebih murah termasuk Justin Bijlow dari Feyenoord dan Kevin Trapp dari Eintracht Frankfurt.

Onana dan Hojlund akan menyertai Mount di Old Trafford musim depan jika United boleh menyelesaikan urusan perjanjian kedua-dua pemain itu.

Mail Sport difahamkan bahawa United dan Inter semakin hampir mencapai persetujuan mengenai Onana, dengan perpindahan itu dijangka akan diselesaikan minggu depan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Julai 2023 @ 9:32 AM