ANDRE Onana. FOTO Agensi
ANDRE Onana. FOTO Agensi
Agensi

London: Manchester United mengesahkan minat mereka untuk mendapatkan Andre Onana, menurut Ketua Pegawai Eksekutif Inter Milan, Beppe Marotta.

The Red Devils dikaitkan dengan penjaga gol yang pernah bekerja bersama Erik ten Hag di Ajax, sejak beberapa minggu lalu.

Kini Inter nampaknya sudah bersedia untuk mendengar bidaan awal di mana Marotta percaya ia mungkin berlaku pada minggu hadapan.

"Manchester United ada menyatakan minat (mendapatkan Onana) yang mungkin membawa kepada tawaran dalam tempoh beberapa hari akan datang.

"Apabila itu berlaku, Inter dan pemain berkenaan akan menilainya dengan teliti," kata Marotta.

United dikatakan sudah mengadakan perbincangan dengan ejen Onana dengan Inter dilaporkan enggan menjual penjaga gol itu kurang daripada harga £50 juta (RM296.3 juta).

Laporan mendakwa pengarah sukan Inter, Piero Ausilio terbang ke UK bulan lalu untuk mengadakan perbincangan berhubung perpindahan Onana, 27, yang dilihat menjadi pilihan nombor satu Ten Hag bagi menggantikan David de Gea.

Kontrak De Gea sudah berakhir selepas United menarik balik tawaran lanjutan kontrak satu tahun ke atas penjaga gol Sepanyol itu.

De Gea dilaporkan menerima perjanjian baharu itu dengan syarat bersetuju untuk mengurangkan gajinya sekitar £375,000 (RM2.2 juta) seminggu.

United sudah melepaskan penjaga gol tetapi mendedahkan mereka masih dalam perbincangan bersama bintang berusia 32 tahun itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Julai 2023 @ 6:59 PM