HOJLUND akan menjalani pemeriksaan kesihatan dengan United. FOTO Agensi
HOJLUND akan menjalani pemeriksaan kesihatan dengan United. FOTO Agensi
Agensi

London: Rasmus Hojlund dijangka berlepas ke England pada hari ini untuk menjalani pemeriksaan kesihatan dengan Manchester United sebelum perpindahannya ke kelab itu.

United bersetuju perjanjian £72 juta (RM416 juta) dengan majikan semasa Hojlund, Atalanta berikutan banyak kali perbincangan antara kedua-dua kelab.

Pemain berusia 20 tahun itu dikejar oleh gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) itu apabila bos United, Erik ten Hag menjadikan Hojlund sebagai sasaran perpindahan utamanya dalam usaha menyelesaikan masalah ketumpulan serangan.

Menurut The Athletic, pemain antarabangsa Denmark itu terdesak untuk berpindah ke Old Trafford dan akan menjalani pemeriksaan kesihatannya hari ini sebaik tiba di kompleks latihan kelab di Carrington, .

Hojlund sudah pun bersetuju dengan syarat peribadi dengan United dan akan menandatangani kontrak lima tahun dengan pilihan tambahan setahun.

United dapat berunding mengenai harga asal £86 juta (RM497 juta) yang digembar-gemburkan oleh Atalanta, bagaimanapun, masih perlu membayar yuran yang besar untuk pemain yang hanya mempamerkan sembilan gol dalam Serie A musim lalu.

Ten Hag nampaknya percaya dengan potensi pemain muda itu untuk membantu mengubah kelab itu menjadi pencabar kejuaraan EPL dan berharap dapat bekerjasama dengan pemain terbaharunya sebaik sahaja United tiba di Manchester selepas menamatkan jelajah pramusim mereka di Amerika Syarikat.

Ujian pemeriksaan kesihatan yang akan dilakukan menandakan United sebagai pemenang dalam perlumbaan untuk mendapatkan tandatangan penyerang itu selepas Paris Saint Germain mengancam untuk menggagalkan usaha kelab England itu.

Hojlund mengakui dia adalah penyokong Red Devils dan berusaha keras untuk mencuba dan mendapatkan perpindahan ke juara EPL 13 kali itu sebaik sahaja kelab itu menyatakan minat mereka.

Dia akan menjadi pemain baru ketiga United pada musim panas berikutan ketibaan Mason Mount dari Chelsea dan bekas penjaga gol Inter Milan, Andre Onana.

Hojlund perlu menyesuaikan diri dengan permainan bola sepak liga utama England itu dan dijangka diberi tempoh rehat, tetapi ketibaannya boleh menamatkan beberapa kontrak pemain lain.

Anthony Martial dikhabarkan akan meninggalkan pasukan pada musim panas ini selepas bergelut dengan masalah kecergasan musim lalu, manakala Jadon Sancho juga sebelum ini disebut bakal angkat kaki.

Hojlund boleh membuat penampilan sulung di Old Trafford dalam pertembungan persahabatan pramusim United menentang pasukan Ligue 1, Lens hujung minggu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Ogos 2023 @ 10:22 AM