KETUA pasukan KDA FC, Manuel Ott mahu pemain fokus pada perancangan Nafuzi Zain. FOTO KDA FC
KETUA pasukan KDA FC, Manuel Ott mahu pemain fokus pada perancangan Nafuzi Zain. FOTO KDA FC
Izzali Ismail


Alor Setar: Kapten Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Manuel Ott berharap pemain Sang Kenari kekal fokus dengan perancangan ketua jurulatih, Nafuzi Zain apabila menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) pada saingan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam esok.

Menurut Ott, tanpa strategi dan panduan yang berkesan dalam perlawanan itu nanti, ia boleh mengakibatkan skuad Sang Kenari 'tenggelam' berbanding JDT yang kini mendahui Liga Super dengan tujuh kemenangan bergaya setakat ini.

"Kami berdepan pasukan teratas liga dan sudah pasti dengan momentum kemenangan dan beraksi di laman sendiri yang dimilki JDT ini bakal menjadikan skuad Harimau Selatan satu lawan yang cukup sukar buat kami.

"Dengan keupayaan yang mereka milki melalui tujuh kemenangan besar pada setiap perlawanan lalu, kami selaku pasukan yang berada di tangga kedua liga perlu mempertingkatkan lagi keupayaan untuk menghadapi setiap ujian mencabar di sana.

"Oleh itu, kami perlu cukup berdisiplin dan beraksi sebagai satu pasukan mengikut perancangan yang telah diatur oleh ketua jurulatih Nafuzi Zain dan saya yakin dengan perancangan yang dipersiapkan ini mampu meningkatkan keupayaan kami untuk menempuh setiap cabaran," katanya.

Ott juga berkata kekuatan mental menjadi elemen penting buat pasukan bagi memastikan pihaknya kekal fokus sepanjang 90 minit untuk aksi yang turut akan dihadapi di depan penyokong Harimau Selatan.

"Walau apa cabaran yang kami hadapi, saya berharap setiap pemain dapat kekal fokus sepenuhnya dalam misi kami disana dan berusaha membuktikan kemampuan pasukan berdasarkan reputasi yang ada pada KDA FC.

"Dengan perancangan yang dibuat ini, kami tidak boleh leka dan perlu mengelak dari melalukan kesilapan mudah kerana kami mahu memastikan Sang Kenari mendapat keputusan yang positif di sana," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 April 2023 @ 6:44 PM