SKUAD KDA FC kembali memulakan latihan selepas cuti Hari Raya Aidilfitri di Stadium Darul Aman. FOTO KDA FC
SKUAD KDA FC kembali memulakan latihan selepas cuti Hari Raya Aidilfitri di Stadium Darul Aman. FOTO KDA FC
Izzali Ismail


Alor Setar: Aksi pramusim saingan empat penjuru di Agarbomb Performance Cup menjadi ruang terbaik buat skuad Kedah Darul Aman FC (FC) mempersiakan diri sebelum turun memulakan aksi saingan Liga Super yang akan bermula Mei depan.

Saingan yang dianjurkan oleh Terengganu FC itu adalah aksi pramusim pertama buat Sang Kenari di luar Kedah yang dijadualkan berlangsung selama lima hari di Kuala Terengganu bermula 17 April hingga 21 April ini.

KDA FC akan menentang TFC 2 pada 17 April, Terengganu FC (19 April) dan Penang FC pada 21 April.

"Proses pembentukan pasukan yang sedang dilakukan untuk musim ini berjalan dengan lancar selepas kemasukan beberapa pemain tempatan dan import yang dipercayai dapat memberi saingan.

"Kami bakal menghadapi pasukan Terengganu (TFC), Terengganu 2 dan juga Penang FC yang memilki tahap terbaik mereka pada saingan musim lepas dan kami yakin dapat meningkatkan lagi keupayaan kami melalui saingan yang akan diberi nanti.

"Pastinya kami mahu meningkatkan lagi kombinasi dan komunikasi antara pemain baharu dan lama dalam pasukan, seterusnya persiapan dalam memilih kesebelasan utama pasukan apabila liga bermula nanti," kata kata ketua jurulatih Sang Kenari, Nafuzi Zain.

Nafuzi turut berkata, aksi pramusim di luar Kedah kali itu bukanlah medan mencari kemenangan semata-mata, tetapi lebih kepada mengukur kemampuan serta memperbaiki kelemahan yang ada.

"Misi utama adalah bagi menilai kelemahan dan memperbaiki setiap kekurangan yang ada selepas mengadakan beberapa aksi perlawanan latihan sebelum ini menentang skuad Bawah 23 Kedah dan juga skuad Penang FC 2," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 April 2024 @ 12:51 PM