MOUNT (kiri) alami kecederaan ketika menentang Spurs.
MOUNT (kiri) alami kecederaan ketika menentang Spurs.
AFP

London: Mason Mount terlepas dua aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Nottingham Forest dan Arsenal selepas mengalami kecederaan 'kecil', menurut Manchester United awal pagi tadi.

United mendedahkan pemainnya itu beraksi dalam situasi tidak selesa ketika tewas 0-2 di Tottenham Ahad lalu.

"Pemain tengah England itu dijangka tersisih sehingga rehat aksi antarabangsa bulan depan," kata United.

Mount berpindah ke Old Trafford dari Chelsea dengan harga £60 juta (RM355 juta) dan selepas memenangi Liga Juara-Juara 2021, Mount berdepan kemerosotan prestasi pada penghujung kariernya bersama Chelsea.

Dia turut gagal menyerlah dalam kedua-dua aksi pertama EPL United musim ini sekali gus menimbulkan kesangsian untuknya merebut tempat dalam kesebelasan skuad Erik ten Hag.

Mount bukan satu-satunya pemain United dibeli pada penutup musim yang mengalami kecederaan.

Penyerang Denmark Rasmus Hojlund yang ditandatangani dari kelab Serie A Atalanta masih belum dapat beraksi untuk United susulan kecederaan belakang.

Skuad Ten Hag melayan kunjungan Forest di Old Trafford Sabtu ini dan berkunjung ke Arsenal hujung minggu depan dalam aksi terakhir sebelum rehat aksi antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Ogos 2023 @ 7:18 AM