MBAPPE (kanan) dikaitkan dengan perpindahan ke Al Hilal. FOTO AFP
MBAPPE (kanan) dikaitkan dengan perpindahan ke Al Hilal. FOTO AFP
Agensi

London: Kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) sedang bersiap sedia untuk menerima tuntutan kenaikan gaji daripada pemain terkemuka sekiranya Kylian Mbappe mengesahkan penghijrahan bernilai £259 juta (RM1.52 bilion) ke Liga Pro Saudi.

Enam kelab gergasi EPL bimbang kemungkinan perpindahan penyerang Perancis itu ke Al Hilal, dengan gaji yang dikhabarkan lebih daripada £3 juta (RM17.6 juta) seminggu, akan menyebabkan pemain berstatus bintang di kelab masing-masing mengancam untuk mengikut jejak langkah Mbappe ke Arab Saudi kecuali jika mereka ditawarkan kenaikan gaji.

Gaji yang ditawarkan di Arab Saudi jauh lebih besar daripada yang dibayar oleh kelab EPL.

Erling Haaland ialah penerima pendapatan tertinggi dengan pakej gaji hampir £900,000 (RM5.2 juta) seminggu bersama pemenang treble, Manchester City.

Bagaimanapun, sekiranya Mbappe, 24, berhijrah ke Arab Saudi, pengurusan Liga Perdana percaya ia akan mengubah situasi semasa.

Satu sumber dalaman berkata: "Setakat ini kebanyakan mereka yang berhjirah ke Saudi sudah hampir tamat kontrak mereka. Tetapi jika Mbappe, salah seorang pemain terbaik di dunia berhijrah ketika di kemuncak prestasi, segala-galanya akan berubah.

"Ia tidak mengejutkan jika pemain terkemuka merujuk kepada keputusan Mbappe dan mereka mahu meninggalkan kelab kecuali jika meraih tawaran yang lumayan atau sekurang-kurangnya ada kenaikan gaji untuk kekal bersama kelab."

Paris Saint-Germain (PSG) memberi kebenaran kepada Mbappe untuk mengadakan perbincangan dengan Al Hilal.

Tetapi pemain itu dijangka akan menolak tawaran berkenaan, sebaliknya menggunakan alasan itu untuk menuntut tawaran lebih tinggi daripada Real Madrid, yang menjadi destinasi pilihannya selepas ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Julai 2023 @ 9:30 AM