RIBUAN penyokong skuad Harimau Selatan hadir di venue itu apabila mencatatkan jumlah tertinggi 32,257 orang. FOTO Ihsan Johor Southern Tigers
RIBUAN penyokong skuad Harimau Selatan hadir di venue itu apabila mencatatkan jumlah tertinggi 32,257 orang. FOTO Ihsan Johor Southern Tigers
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Johor Darul Ta'zim (JDT) sedia membawa ramai pemain termahal dunia jika kehadiran penyokong di Stadium Sultan Ibrahim sentiasa 'full house' seperti mana yang ketika aksi separuh akhir Piala FA menentang Selangor FC, Isnin lalu.

Perkara itu dinyatakan pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang berkongsi rasa gembira melihat kehadiran ribuan penyokong skuad Harimau Selatan di venue itu apabila mencatatkan jumlah tertinggi 32,257 orang.

Katanya, beliau berpuas hati dan mengakui tidak kisah untuk berbelanja besar dengan membawa pemain lebih ternama ke JDT.

"Kalau setiap perlawanan macam ini. Tandatangan pemain mahal-mahal pun takpa. Puas hati. Apa apa pun terima kasih," katanya di ruangan komen di Instagram.

Jika menjadi kenyataan, sudah pasti antara pemain termasyhur yang boleh cuba diintai oleh JDT adalah Radamel Falcao atau Papu Gomez yang sebelum ini dikaitkan untuk ke Johor Bahru.

Dalam aksi separuh akhir itu, JDT melakar kemenangan besar 4-0 mengatasi Selangor untuk mara ke final Piala FA yang dijadual berlangsung di venue sama pada 22 Julai ini.

Di final nanti, JDT yang juga juara bertahan akan menentang Kuala Lumpur City FC (KL City) yang sebelum itu menundukkan Terengganu FC dalam satu lagi aksi separuh akhir di Kuala Terengganu.

Sebelum ini, Tunku Ismail beberapa kali meluahkan rasa tidak senang dengan kehadiran penyokong JDT yang agak sendu di Stadium Sultan Ibrahim di mana penyokong gemar memilih perlawanan tertentu sahaja untuk ke stadium.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Jun 2023 @ 2:56 PM