INSIDEN tegang membabitkan pemain TFC dan JDT.  FOTO Ghazali Kori
INSIDEN tegang membabitkan pemain TFC dan JDT. FOTO Ghazali Kori
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar melahirkan kekecewaan terhadap mutu pengadilan ketika pertemuan Terengganu FC (TFC) menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi separuh akhir pertama saingan Piala Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, semalam.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), bagaimanapun memuji semangat kental dipamerkan pemain skuad Penyu walaupun adakalanya permintaan mereka tidak dilayan pengadil.

"Tahniah TFC atas kesungguhan yang dipamerkan. Walaupun terikat dengan jaringan satu sama, ia bukan penghalang untuk pemain bangkit dalam perlawanan kedua nanti. Diharapkan mutu pengadilan lebih baik untuk aksi separuh akhir kedua di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri," tulis Menteri Besar Terengganu dalam laman Instagramnya hari ini.

Terdahulu pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim turut melahirkan rasa kecewa mengenai mutu pengadilan yang disifatkan baginda cukup teruk.

Pada aksi berkesudahan seri 1-1 itu hasil jaringan Jordan Mintah bagi pasukan TFC pada babak pertama dan Bergson Da Silva, JDT pada separuh masa kedua, sekurang-kurangnya tiga insiden membabitkan pemain JDT boleh dilayangkan kad atau diperintahkan keluar padang selepas jelas mengasari pemain TFC berdekatan pengadil.

Insiden pertama membabitkan tindakan tonggak pertahanan JDT, Shane Lowry yang mengasari Mintah yang ketika itu sudah pun terbaring dan menolak penjaga gol, Suhaimi Husin yang menariknya untuk meleraikan percakaran ketika pergelutan di dalam kotak penalti pada minit ke-70.

Kedua dan ketiga membabitkan Natxo Insa diberi layanan 'istemewa' walaupun jelas menyepak bola selepas pengadil meniupkan wisel bagi melambatkan permainan dan hadangan kerasnya terhadap pemain TFC pada penghujung perlawanan.

Namun pengadil bertugas, Tuan Mohd Yaasin Tuan Mohd Hanafiah bagaikan tertinggal kad di bilik persalinan selepas tidak memberi sebarang amaran kepada pemain JDT itu sekali gus mengundang kemarahan 20,000 peminat setia yang hadir ke stadium dengan harapan melihat perlawanan menarik.

Pada 2015, juga di stadium sama, penyokong tuan rumah merusuh kerana tidak berpuas hati dengan mutu pengadilan ketika pertemuan dengan wakil Singapura, Lions XII pada aksi separuh akhir Piala FA yang mengakibatkan sebuah ambulans dibakar dan 22 penyokong ditahan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 November 2021 @ 6:44 PM