TUNKU Ismail bergambar bersama bintang Liverpool. FOTO Ihsan Instagram hrhcrownprinceofjohor
TUNKU Ismail bergambar bersama bintang Liverpool. FOTO Ihsan Instagram hrhcrownprinceofjohor
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Selepas pernah berdepan kelab gergasi Jerman, Borussia Dortmund dan pasukan handalan dari Rusia, Spartak Moscow sebelum ini, adakah Liverpool pula bakal menguji skuad Johor Darul Ta'zim (JDT).

Itu persoalan yang berlegar dikalangan peminat bola sepak tempatan selepas melihat Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkongsi gambar bersama pemain utama Liverpool semalam.

Menerusi perkongsian di laman sosial pemilik JDT itu, Tunku Ismail dilihat bersama tiga tonggak utama skuad The Reds iaitu Darwin Nunez, Alexis MacAllister dan Luis Diaz.

Ketika ini, anak buah Jurgen Klopp berada di Singapura dalam jelajah pramusim di negara sebarang tambak itu di mana saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) dijadual memulakan musim baharu pada 12 Ogos ini.

Lantas, pertemuan Tunku Ismail dengan kelab gergasi EPL itu membuatkan penyokong bola sepak tempatan tidak duduk diam apabila ramai yang memasang impian untuk melihat pertemuan antara JDT dan Liverpool dapat diadakan di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) selepas ini.

Harapan peminat itu pastinya bukanlah perkara mustahil memandangkan skuad Harimau Selatan pernah menyambut kehadiran Borussia Dortmund sebanyak dua kali termasuk yang terbaharu pada hujung tahun lalu, yang menyaksikan JDT tewas 1-4.

Malah, beberapa kelab sekitar Asia juga pernah mengunjungi venue keramat JDT itu termasuklah Albirex Niigata dan Persis Solo.

JDT juga turut mengadakan aksi persahabatan di luar negara seperti Spartak Moscow pada aksi pramusim di Dubai sebelum ini.

Sudah pasti SSI mampu menampung kehadiran penyokong tegar Liverpool, di mana Malaysia dianggap antara negara yang mempunyai penyokong The Reds paling ramai di rantau ini, sekali gus memberi harapan kepada peminat untuk melihat aksi Liverpool di SSI.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Ogos 2023 @ 3:12 PM