Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Pengendali Papua New Guinea, Harrison Kamake akui 'terpukau' melihat persembahan pemain Malaysia yang beraksi cemerlang sehingga pasukannya mudah 'diratah' lawan selepas sepuluh kali pintu gol pasukannya dibolosi.

Bagaimanapun, beliau tetap positif selain menjelaskan perlawanan itu banyak memberikan pengajaran berguna kepadanya.

Pada perlawanan itu, Papua New Guinea yang berada di ranking ke-159 dunia berbanding Malaysia di kedudukan ke-138 terpaksa menelan kepahitan selepas tumpas 0-10 hasil empat jaringan Arif Aiman Mohd Hanapi, hatrik Paulo Josue dan masing-masing satu gol disumbang Safawi Rasid, Faisal Halim dan Danial Ting.

"Saya agak terkejut dan terpukau melihat aksi diperagakan pemain Malaysia sehingga sepuluh kali pintu gol kami dibolosi, tahniah buat pasukan itu.

"Kekalahan besar itu memberikan pengajaran berguna dengan banyak 'kerja rumah' yang perlu kami lakukan, kami akan buat penambahbaikan selain mengadakan lebih banyak lagi perlawanan.

"Saya lihat pada aksi separuh masa kedua, kami mula longgar dan tidak mengikut apa yang dirancang dengan membiarkan pemain Malaysia masuk dalam kawasan kami.

"Pemain cuba mempertahankan rentak sebagaimana aksi pada babak pertama, namun itulah perbezaaan kualiti menunjukkan keupayaan kami tidak mampu menandingi serangan lawan," kata Kamake ketika ditemui selepas aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, semalam.

Ketika ditanya adakah sepakan penalti pada akhir babak pertama bagaikan 'membunuh' rentak permainan anak buahnya, Kamake menafikannya.

"Saya rasa penalti itu bukan penyebab pemain beraksi longlai kerana pada awal kami bermain baik, namun ia semakin longgar selepas gol demi gol, moral mereka semakin menurun, kami tak jangkakan keputusan sebegini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Jun 2023 @ 2:16 PM