Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Pemain tengah kebangsaan, Mohamed Syamer Kutty Abba akui setiap kali menyarung jersi skuad kebangsaan, tekanan pastinya dirasai apatah lagi membawa segunung impian dan harapan buat peminat setia skuad Harimau Malaya.

Bagaimanapun jelas 'arkitek' Johor Darul Ta'zim (JDT) itu, tekanan itu sebenarnya mampu menjadikannya lebih matang untuk terus memberikan persembahan bertenaga buat pasukan kebangsaan setiap kali membarisi skuad.

Tambah pemain kelahiran Pulau Pinang berusia 26 tahun itu, sokongan padu daripada ribuan peminat setia juga mampu menghilangkan 'darah gemuruhnya' terutama beraksi di pentas antarabangsa dengan membawa nama negara Malaysia.

Pada aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 menentang Kepulauan Solomon di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Rabu lalu, Syamer beraksi cemerlang di jentera tengah bergandingan dengan Stuart Wilkin dan Endrick Dos Santos sebelum pasukannya berjaya membenam lawan 4-1.

"Sejujurnya setiap kali saya memakai jersi pasukan kebangsaan, ia adalah satu tekanan lebih-lebih lagi dalam misi membantu pasukan negara di peringkat antarabangsa, namun ia perkara biasa.

"Lagipun saya jadikan tekanan itu sebagai pemangkin semangat untuk beraksi lebih baik setiap kali diberi tanggungjawab mengemudi jentera tengah pasukan," katanya ketika ditemui pada sidang media di sebuah hotel terkemuka, dekat sini, petang ini.

SYAMER semasa sesi temu ramah menjelang perlawanan persahabatan antarabangsa  bertemu Papua New Guinea pada 20 Jun ini. FOTO GHAZALI KORI
SYAMER semasa sesi temu ramah menjelang perlawanan persahabatan antarabangsa bertemu Papua New Guinea pada 20 Jun ini. FOTO GHAZALI KORI

Ketika ditanya mengenai kekuatan pasukan Papua New Guinea yang berjaya mengikat Singapura 2-2 pada aksi persahabatan antarabangsa semalam, pemain yang pernah berkelana dalam Liga Portugal pada 2018 dengan menyarung jersi kelab Vilaverdense secara pinjaman itu akui kemampuan lawan tidak boleh diperkecilkan biarpun berada di ranking ke-159 dunia berbanding Malaysia di kedudukan ke-138.

"Dalam semua pertemuan, kita memang target untuk menang kerana ini adalah salah satu persediaan penting sebelum beraksi dalam Kejohanan Piala Asia 2023 di Qatar pada Januari tahun depan.

"Jadi kami harus mengambil serius dalam setiap perlawanan termasuk perlu lebih fokus dengan mentaliti yang terbaik selain tidak mengambil mudah kemampuan pasukan lawan.

"Lagipun saya mempunyai misi yang tersendiri sejak kecil lagi untuk menyarung jersi pasukan kebangsaan, kini impian itu sudah tercapai dengan 27 penampilan setakat ini dan berjaya menjaringkan satu gol, tapi saya tidak akan berhenti di sini sebaliknya terus berusaha untuk menambah kaps," katanya.

Skuad kendalian Kim Pan-gon akan berdepan dengan Papua New Guinea pada 20 Jun ini juga di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin dalam misi meneruskan momentum kemenangan keempat dalam perlawanan persahabatan antarabangsa musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Jun 2023 @ 4:50 PM