ANDERSEN pada sidang media. FOTO Nur Aisyah Mazalan
ANDERSEN pada sidang media. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Ketua jurulatih Hong Kong, Joern Andersen menegaskan seandainya gol berjaya dihasilkan di awal permainan kemungkinan perlawanan menentang Harimau Malaya akan berbeza dan tidak mustahil mampu pulang dengan kemenangan.

Pengendali kelahiran Norway itu mengulas mengenai percubaan seawal minit keempat apabila bola tandukan Vas Nunez sekadar singgah ke tiang gol ketika penjaga Harimau Malaya, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed sudah tertewas.

Walaupun tewas 0-2 kepada Harimau Malaya pada perlawanan antarabangsa Tier-1 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi dan ia merupakan kekalahan kedua buat Hong Kong, Andersen menganggap pasukannya sudah melakukan yang terbaik dan mengundang keresahan buat skuad kendalian Kim Pan-gon.

Tegasnya bukan mudah untuk beraksi di tempat lawan iaitu di Malaysia namun beliau melihat ada perkembangan positif yang ditampilkan barisan pemainnya tatkala tidak dapat menurunkan barisan terbaik memandangkan saingan liga di China masih berlangsung dan beberapa pemain tidak mendapat pelepasan dari kelab masing-masing

"Cukup berpuas hati walaupun tewas dengan corak permainan berintensiti tinggi malah kami ada enam atau tujuh peluang menjaringkan gol tapi ketajaman penyudah menjadi pemisah dan semua itu menjadi proses pembelajaran.

"Kami menggerakkan bola dan mempunyai percubaan yang berbahaya. Babak kedua kami cuba lakukan sesuatu dan kami cuba memperbaiki persembahan.

"Secara keseluruhan, kami beri tentangan sengit kepada Malaysia tetapi saya rasakan keputusan perlawanan akan menjadi lain jika kami berjaya menjaringkan gol terlebih dahulu," katanya dalam sidang media selepas perlawanan itu.

Andersen juga menyatakan bahawa pasukannya pada tahun ini lebih bersedia berbanding tahun lalu dan dapat memberikan tentangan hebat kepada Malaysia namun masih ada ruang untuk diperbaiki.

Malah beliau berharap skuad Harimau Malaya akan bertandang ke Hong Kong pada bulan September ini untuk aksi persahabatan.

"Kami sudah dua kali bertandang ke Malaysia, jadi apa salahnya kami pula menjemput mereka ke Hong Kong untuk perlawanan persahabatan.... harap ia menjadi kenyataan," kata Andersen.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mac 2023 @ 11:11 AM