AKSI pemain Selangor, Fazly Mazlan (tengah) ketika menentang Kelantan United FC sebelum ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
AKSI pemain Selangor, Fazly Mazlan (tengah) ketika menentang Kelantan United FC sebelum ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Selangor FC tidak bercadang untuk menukar taktikal permainan daripada menyerang kepada bertahan apabila berdepan Negeri Sembilan FC (NSFC) menjelang aksi suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya, malam esok.

Pengendali Selangor, Tan Cheng Hoe, beliau tetap akan mengekalkan corak permainan menyerang yang kini menjadi identiti pasukan sejak beliau mengambil alih pasukan hujung September lalu.

Malah, sejak di bawah bimbingannya, Red Giants tidak pernah kalah dalam enam aksi apabila melakar lima kemenangan dan satu seri dalam empat perlawanan Liga Super dan dua aksi pusingan 16 terbaik Piala Malaysia.

Begitupun, ia tidak bermakna anak buahnya boleh mendabik dada di bahagian pertahanan kerana beliau mengakui penyerang NSFC terutamanya awang import dilihat cukup berbisa.

Lantas, beliau mengingatkan tonggak pertahanan supaya sentiasa berjaga-jaga ketika melancarkan serangan bagi memburu jaringan kerana jika lalai walaupun sesaat, ia boleh memakan diri.

"Ya…memang corak permainan kami lebih kepada menyerang, tapi kita akan sentiasa berjaga-jaga apabila menyerang kerana kita tahu kekuatan Negeri Sembilan adalah dari segi serangan balas.

"Mereka juga mempunyai pemain yang laju seperti Matheus Alves dan Gustavo Almeida serta beberapa pemain lain memang berbahaya," kata bekas pengendali skuad Harimau Malaya itu.

Sebelum ini, Selangor menempah tiket ke suku akhir selepas berjaya mengenepikan tentangan Kelantan United di pusingan 16 terbaik menerusi agregat 3-0.

Ujar Cheng Hoe lagi, beliau tidak melihat pasukannya sebagai pilihan sebaliknya lebih selesa dianggap underdog biarpun memegang status juara terbanyak Piala Malaysia sebanyak 33 kali.

"Kita tahu pasukan Negeri Sembilan ketika ini berada pada tahap terbaik jika kita lihat beberapa perlawanan terakhir mereka.

"Untuk perlawanan itu nanti kita merasakan diri kita adalah pasukan underdog kerana kita baru bentuk pasukan untuk menghadapi pasukan yang lebih kuat dari kita," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 November 2022 @ 1:36 PM