Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Ketua jurulatih Kepulauan Solomon, Felipe Vega Arango mendedahkan punca pasukannya mudah 'dibaham' Harimau Malaya selepas tumpas 4-1 pada aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, malam tadi.

Jelas pengendali kelahiran Sepanyol berusia 46 tahun itu, jurang perbezaan yang begitu jauh dengan menyifatkan skuad kendalian Kim Pan-gon lebih profesional berbanding skuadnya yang bertaraf amatur adalah punca utama pasukannya gagal menyaingi Harimau Malaya.

Tambah Arongo, kelemahan di jentera tengah selain anak buahnya bagaikan 'tidak mendengar kata' juga membuka peluang buat pemain Malaysia mendominasi permainan bermula wisel pertama ditiupkan pengadil dari Vietnam, Ngo Dyu Lan.

"Kami tahu bakal berdepan dengan permainan pantas dan laju yang ditampilkan pasukan Malaysia, pasukan mereka lebih baik, namun saya gembira kerana dapat menjaringkan gol pendahuluan sebagai pembakar semangat.

"Selepas itu kami banyak bertahan dengan asakan bertali arus lawan dan pada masa kita tidak membuat gerakan, mujur penjaga gol kami bertindak cemerlang dengan menggagalkan banyak percubaan bahaya lawan.

"Lagipun jurang perbezaan pemain kami dengan Malaysia begitu jauh. Mereka lebih profesional dan lebih bersedia di setiap sudut, malah posisi juga dikuasai mereka, pada masa sama kami juga mengalami masalah di bahagian tengah, pemain kami juga tidak mengikut apa yang dirancang, ini memberi kelebihan kepada pasukan lawan.

Ketika ditanya mengenai suasana perlawanan itu, Arongo akui begitu gembira kerana suasana sebegitu tidak dapat dirasai di Kepulauan Solomon.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Jun 2023 @ 1:51 PM