KETUA jurulatih Mongolia Michael Weiss (kiri) ketika sidang media menjelang aksi persahabatan kelas A di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok. - Foto Bernama
KETUA jurulatih Mongolia Michael Weiss (kiri) ketika sidang media menjelang aksi persahabatan kelas A di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok. - Foto Bernama
Syafiq Aznan


PENGENDALI Mongolia, Micheal Weiss memberi amaran pasukannya sedia memalit satu lagi episod duka buat skuad bola sepak kebangsaan pada aksi persahabatan kelas A di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok.

Jurulatih kelahiran Jerman itu dilihat memiliki banyak pengetahuan mengenai skuad Harimau Malaya sekali gus mempunyai ramuan terbaik untuk mengecewakan skuad bimbingan Tan Cheng Hoe itu yang  sudah berdepan kemarau kemenangan dalam 10 perlawanan.

Namun, kemasukan beberapa pemain baharu dalam skuad Harimau Malaya membuatkan Weiss ‘tersentak’ seterusnya mengakui beliau perlu lebih berhati-hati dalam mencorak taktikal terbaik untuk melakukan kejutan.

“Walaupun memiliki beberapa maklumat mengenai skuad kebangsaan dan bola sepak Malaysia juga tidak asing buat saya, tetapi agak sukar saya membuat jangkaan mengenai perancangan mereka nanti.

“Tambahan pula mereka ada dua adik beradik Sepanyol (Natxo dan Kiko Insa) serta pertahanan kiri baharu, La’Vere Corbin Ong, jadi itu membuatkan Malaysia menjadi pasukan pilihan dalam perlawanan esok.

“Bagaimanapun, kita ada menjalankan beberapa kajian khususnya membabitkan perlawanan terbaru Malaysia ketika menentang Korea Utara dan Hong Kong, baru-baru ini.

“Apapun, persiapan sudah dijalankan dan yang penting pemain memberi idea serta tidak bergantung kepada hantaran jauh sekali gus tidak memberi laluan mudah kepada pasukan lawan,” katanya.

Sementara itu, kapten Mongolia, Turbat Daginna mengakui dia dan rakan sepasukan berdepan halangan untuk melakukan persiapan terbaik kerana musim sejuk di negara mereka.

“Pasukan kami dibarisi pemain semi profesional. Ada pemain kami yang masih lagi belajar dan ada yang sekadar menjadikan bola sepak sebagai hobi mereka.

“Mongolia kini sedang mengalami musim sejuk, jadi kita tidak dapat berlatih dengan sempurna. Mujurlah kami sempat menjalani latihan di China selama dua minggu dan kami yakin dengan persiapan yang dilakukan setakat ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Mac 2018 @ 4:06 PM