KHIDMAT Elavarasan masih diperlukan skuad muda negara.
KHIDMAT Elavarasan masih diperlukan skuad muda negara.
Firdaus Hashim


Petaling Jaya: Sentuhan E Elavarasan tampaknya masih ditagih Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi mengendali skuad bawah 23 (B-23) tahun negara meskipun gagal memenuhi sasaran layak ke final Sukan Sea di Kemboja, bulan lalu.

Perkara itu dinyatakan Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman pada sidang media mesyuarat kelapan Jawatankuasa Eksekutif FAM bagi penggal 2021-2025 di Wisma FAM, di Kelana Jaya, di sini, hari ini.

Katanya, Elavarasan dan barisan kejurulatihannya akan kekal mengemudi pasukan bagi menghadapi dua saingan utama iaitu Piala AFF B-23 di Bangkok pada Ogos ini, serta Kelayakan Piala Asia B-23 juga diadakan di Bangkok, September ini.

"Untuk B-23 kita ada kelayakan Piala Asia pada September dan Piala AFF pada bulan Ogos di Bangkok. Untuk jurulatih memang kita mengekalkan jurulatih Elavarasan untuk bawa (kendali skuad B-23)," katanya.

Menurutnya lagi, sasaran untuk anak buah Elavarasan adalah wajib layak ke Piala Asia B-23 yang dijadual berlangsung di Qatar pada April tahun depan.

"kelayakan Piala Asia sasaran kita adalah layak ke Piala Asia sebagai 16 pasukan terbaik," katanya ringkas.

Pada pusingan kelayakan nanti, Malaysia diletakkan dalam Kumpulan H bersama tuan rumah Thailand, Bangladesh dan Filipina.

Juara daripada 11 kumpulan dan empat naib juara terbaik akan layak secara automatik bersama Qatar selaku tuan rumah bagi melengkapkan 16 pasukan terbaik.

Piala Asia itu juga adalah laluan untuk ke Sukan Olimpik Paris, di mana tiga pasukan terbaik akan meraih tiket ke temasya dunia itu yang dijadual berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos 2024.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Jun 2023 @ 10:58 PM