PRESIDEN FAM, Datuk Hamidin Amin. FOTO ARKIB NSTP
PRESIDEN FAM, Datuk Hamidin Amin. FOTO ARKIB NSTP
Firdaus Hashim dan Syazwan Msar


Petaling Jaya: Bagi memastikan skuad bawah 23 (B-23) tahun negara tidak 'lemau' di pusingan Kelayakan Piala Asia B-23 pada September ini, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memutuskan tidak menghantar pasukan ke Sukan Asia di Hangzhou, China.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, keputusan itu diambil selepas mendapat pandangan semua pihak terutama Pengarah Teknikal (TD) FAM dan barisan kejurulatihan pasukan yang diketuai E Elavarasan.

Beliau berkata, keutamaan adalah untuk layak ke Piala Asia B-23 pada tahun depan dengan peringkat kelayakan akan berlangsung pada bulan sama dengan temasya itu.

Katanya, FAM mahu mempersiapkan pasukan tampil lebih bertenaga di Kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024 pada pertengahan tahun ini, selain turut memberikan fokus kepada Sukan Sea di Kemboja (Mei) dan Piala AFF B-23 (November).

"Bulan Mei ada Sukan Sea dan kita nak buat yang terbaik. Di sini saya nak bagi tahu, untuk Sukan Asia kita takkan sertai selepas mengambil pandangan TD dan jurulatih kerana tarikh itu dekat dengan pusingan kelayakan Piala Asia.

"Dari kita pergi (Sukan Asia) dan kelayakan pun main nanti, tiba-tiba keputusan tak dapat dan lagi teruk, baik kita fokus untuk kelayakan (Piala Asia) pada September nanti.

"Selepas itu pada November ada Piala AFF yang akan kita fokuskan…itu selepas kita ambil pandangan daripada TD dan jurulatih semua," katanya.

Sabtu lalu, FAM mengumumkan senarai 25 pemain yang dipanggil Elavarasan untuk menyertai latihan pusat skuad B-23 bermula hari ini hingga Ahad ini.

Ia sebagai persiapan awal skuad muda negara bagi menghadapi beberapa kejohanan pada tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Februari 2023 @ 7:32 PM