Kuala Lumpur: Penyerang muda negara Luqman Hakim Shamsudin hampir pasti tidak akan menyertai skuad bawah 23 tahun (B-23) negara pada kejohanan Piala AFF B-23 yang akan bermula 18 Ogos ini.
Pengurus skuad B-23 negara Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata, pemain berusia 21 tahun itu terpaksa melupakan kejohanan berkenaan berikutan tidak mendapat pelepasan kelabnya Njardvik kerana saingan itu berada di luar kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa).
Beliau berkata, pemain yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan itu akan menyertai pasukan negara pada kempen Kelayakan Piala Asia B-23 yang akan bermula September ini.
"Kemungkinan besar Luqman tidak akan menyertai pasukan untuk mengharungi perlawanan Piala AFF B-23 namun tidak menjadi masalah kerana kita mempunyai ramai pemain lain.
"Luqman tetap akan menyertai kem latihan skuad B-23 yang bermula hari ini dalam usaha barisan kejurulatihan membentuk skuad yang mantap.
"Saingan Piala AFF cukup penting dalam usaha kita membentuk skuad terbaik untuk mengharungi Kelayakan Piala Asia B-23," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.
Sebelum ini, Luqman terlepas aksi menyertai Sukan Sea di Kemboja kembali disenaraikan untuk menyertai kem latihan negara bagi menghadapi saingan Piala AFF B-23 dan Kelayakan Piala Asia B-23.
Pasukan negara diundi dalam Kumpulan B saingan Piala AFF B-23 dan bakal bertemu Indonesia pada 18 Ogos dan Timor-Leste pada 22 Ogos di Chonburi, Thailand.
Juara kumpulan (tiga pasukan) dan naib juara kumpulan terbaik (satu pasukan) layak ke pusingan separuh akhir saingan itu.
Kelayakan Piala Asia B-23 pula akan dilangsungkan pada bulan September di Bangkok, di mana Malaysia sekumpulan dengan tuan rumah, Filipina dan Bangladesh dalam Kumpulan H.
Juara daripada 11 kumpulan kelayakan dan empat naib juara terbaik akan layak secara automatik bersama Qatar selaku tuan rumah bagi melengkapkan 16 pasukan terbaik.
Piala Asia itu juga adalah laluan untuk ke Sukan Olimpik Paris, di mana tiga pasukan terbaik akan meraih tiket ke temasya dunia itu yang dijadual berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos 2024.