DUA saingan disertai skuad Harimau Muda negara di Sukan Sea Kemboja dan Kejuaraan AFF B-23 semuanya berakhir dengan kekecewaan. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
DUA saingan disertai skuad Harimau Muda negara di Sukan Sea Kemboja dan Kejuaraan AFF B-23 semuanya berakhir dengan kekecewaan. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memiliki peluang terakhir bagi menyelamatkan maruah skuad bawah 23 (B-23) tahun negara pada tahun ini dengan menjadikan pentas Kelayakan Piala Asia B-23 di Bangkok, Thailand pada bulan depan sebagai medan menebus duka.

Untuk rekod, dua saingan disertai skuad Harimau Muda negara di Sukan Sea Kemboja dan Kejuaraan AFF B-23 semuanya berakhir dengan kekecewaan.

Biarpun meletakkan sasaran cukup tinggi di dua pertandingan terbabit, namun barisan kendalian E Elavarasan nyata gagal memberi tentangan diharapkan apabila sekadar mara ke separuh akhir saingan itu.

Bagi pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli, Kelayakan Piala Asia B-23 adalah talian hayat terakhir buat FAM bagi memastikan pasukan negara meraih keputusan positif di saingan itu nanti.

Katanya, segala-galanya kini terletak di tangan badan induk itu bagi memastikan persediaan dan persiapan pasukan di tahap terbaik termasuk 'berkeras' memastikan hanya pemain terbaik dapat di bawa ke kota Bangkok pada bulan depan.

"Persoalan ini sebenarnya harus dijawab sendiri oleh FAM. Mereka yang meletakkan sasaran dan mereka jugalah yang perlu menjawab jika pasukan gagal di kejohanan disertai.

"Bagi saya, tiga faktor perlu diteliti pertamanya tahap persediaan kita. Bagaimanakah persiapan yang kita mahukan sebelum beraksi di kelayakan itu nanti.

"Keduanya, adakah pasukan ini terdiri daripada pemain-pemain terbaik yang kita ada. Dan ketiga, adalah soal kejurulatihan di mana selepas dua kegagalan sebelum ini adakah kita masih boleh harapkan kepada barisan yang sama.

"Jadi ini perlu dilihat dan di jawab sendiri oleh FAM, dan jika mereka mahu pasukan layak ke Piala Asia B-23, mereka perlu berani buat sesuatu agar keputusan lebih baik mampu diraih nanti," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum ini, skuad B-23 negara gagal melangkah ke final Sukan Sea di Kemboja apabila tersekat di separuh akhir, sekali gus tidak dapat memenuhi sasaran membawa pulang pingat emas di temasya dwitahunan itu.

FAM sekali lagi mensasarkan final di Kejuaraan AFF di Bangkok baru-baru ini, namun kehampaan sama dicatatkan apabila perjuangan pasukan terhenti di separuh akhir.

"Soal nak himpunkan pemain terbaik ini memang FAM yang perlu menjawabnya. Tidak guna kita bercakap, tapi akhirnya kita gagal juga untuk dapatkan pemain terbaik di mana akhirnya 'skuad kedua' juga dihantar," katanya.

Di Kelayakan Piala Asia di Bangkok nanti, Malaysia diletakkan dalam Kumpulan H bersama Bangladesh, Filipina dan tuan rumah Thailand.

Setiap juara daripada 11 kumpulan dan empat naib terbaik akan layak automatik ke Piala Asia di Qatar yang dijangka berlangsung pada bulan April tahun depan.

Malah, tiga pasukan terbaik di pusingan akhir itu nanti turut akan meraih tiket ke Sukan Olimpik Paris yang dijadual diadakan pada Julai 2024.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Ogos 2023 @ 4:24 PM