MESSI mengharungi musim yang mengecewakan di PSG. -FOTO AFP
MESSI mengharungi musim yang mengecewakan di PSG. -FOTO AFP
AFP

Madrid: Jurulatih Barcelona, Xavi Hernandez berkata 'pintu Barcelona sentiasa terbuka' buat Lionel Messi.

Xavi bercakap pada sidang media menjelang pertemuan Clasico hari ini apabila Barca akan berdepan pendahulu La Liga Real Madrid di Santiago Bernabeu.

Messi mengharungi musim yang mengecewakan di Paris Saint-Germain walaupun kewangan Barca yang agak teruk menyukarkan pembelian semula pemain Argentina itu.

Sekatan perbelanjaan yang terbaru di La Liga meletakkan had Barcelona kepada 144 juta euro (RM668.43 juta).

Ia bermakna kelab perlu mengurangkan perbelanjaan untuk mendapatkan pemain pada fasa perpindahan berikutnya.

Messi dilepaskan tahun lalu kerana Barca tidak mampu untuk menyambung kontraknya, menamatkan musim bersejarah dalam kariernya di Camp Nou.

Ditanya sama ada pintu masih terbuka untuk Messi kembali, Xavi berkata: "Dia adalah pemain terbaik dalam sejarah dan adalah sejarah buat kelab, dia berhak untuk pulang.

"Selagi saya bergelar jurulatih, pintu sentiasa terbuka buatnya jika dia mahu pulang pada bila-bila masa. Dia terbaik dalam sejarah dan sebagai sebuah kelab, kami berhutang kepadanya, dia memang berhak, tapi dia ada kontrak dengan PSG, jadi tiada apa yang boleh saya katakan kepada awak.

"Jika dia mahu datang pada bila-bila masa, untuk melihat latihan, bercakap dengan jurulatih, pintu sentiasa terbuka kerana dia adalah pemain terbaik dalam sejarah kelab ini."

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Mac 2022 @ 8:32 AM