PEMAIN Luton berarak di depan penyokong berpakaian oren sebagai meraikan kejayaan mereka beraksi di EPL, musim depan. FOTO AFP
PEMAIN Luton berarak di depan penyokong berpakaian oren sebagai meraikan kejayaan mereka beraksi di EPL, musim depan. FOTO AFP
AFP

Luton, United Kingdom: Skuad Luton meraikan promosi ke Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan perarakan di depan ribuan penyokong, hari ini.

Skuad bimbingan Rob Edwards menewaskan Coventry 6-5 menerusi penentuan sepakan penalti selepas terikat 1-1 ketika final play-off Liga Kejuaraan di Wembley, Sabtu lalu.

Pasukan digelar The Hatters itu menafikan ramalan apabila mara ke liga utama hanya sembilan tahun selepas bermain di Konferen Kebangsaan.

Luton akan menyambut kedatangan juara EPL, Manchester City dan kelab elit lain dalam liga utama di stadium mereka yang memiliki kapasiti 10,356 orang iaitu Kenilworth Road, musim depan.

Beraksi di EPL dijangka akan meningkatkan keuntungan sekitar £170 juta (RM976 juta).

Ia adalah pencapaian luar biasa bagi kelab yang beraksi di liga utama pada 1992 dan hampir muflis selepas tersingkir ke liga bawahan.

Kejayaan Luton menarik minat bola sepak dunia apabila ribuan penyokong memakai baju oren dan berbaris di jalan yang menjadi laluan perarakan wira mereka.

"Ia cukup bermakna," kata Edwards sebelum memulakan perarakan dengan lagu popular Bon Jovi, 'Always' dan memegang trofi play-off di balkoni the Luton Town Hall.

"Ia untuk anda semua, penduduk Luton Town, untuk bandar ini dan pemain ini memang berhak menikmatinya, barisan kejurulatihan yang bekerja keras serta lembaga pengarah. Kami perlu menikmati detik indah ini."

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Mei 2023 @ 7:43 AM