SUASANA majlis berbuka puasa di Luton Town. FOTO AGENSI
SUASANA majlis berbuka puasa di Luton Town. FOTO AGENSI
Agensi

London: Kelab Bola Sepak Luton Town menjemput umat Islam dari masjid berdekatan ke acara Iftar di stadium kelab itu pada minggu lalu.

Jemaah Masjid Madinah yang terletak bersebelahan dengan Jalan Kenilworth menghadiri majlis berkenaan iaitu berbuka puasa pada bulan Ramadan.

Pengurus, Rob Edwards berkata, beliau mendapat inspirasi selepas melihat sokongan padu masyarakat Islam sebaik kelab itu berjaya naik ke Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Mei lalu.

"Kami adalah bandar yang mempunyai pelbagai latar belakang tetapi untuk melihat semua orang berkumpul pada masa ini adalah benar-benar istimewa dan ia akan sentiasa diingati dalam hidup saya," kata Edwards.

"Melihat betapa ia terlalu bermakna buat komuniti kami benar-benar menggembirakan," katanya lagi.

Puasa adalah salah satu daripada lima Rukun Islam dan bertujuan untuk meningkatkan kekuatan rohani.

Mereka yang berpuasa tidak boleh makan atau minum apa-apa - termasuk air - sehingga selepas matahari terbenam, apabila mereka berbuka dengan makan malam, yang dipanggil Iftar.

Acara berlangsung di Kenilworth Road itu termasuk bacaan al-Quran dan kuiz trivia, sebelum Edwards naik ke pentas bersama pengerusi kelab, David Wilkinson untuk bercakap mengenai sejarah kelab itu.

Maqsood Anwar, dari Masjid Madinah berkata, kedudukan masjid mereka yang terletak di seberang jalan dari stadium itu menjadikan mereka rapat dan mengenali antara satu sama lain.

Anwar berkata acara seperti di Kenilworth Road boleh membantu mencegah Islamofobia.

Beliau menjelaskan: "Adalah sangat penting untuk kita mengumpulkan semua masyarakat supaya orang ramai tahu tentang Iftar dan belajar tentang Islam dan itu membina perpaduan dalam masyarakat."

"Bola sepak menyatukan kami semua."

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mac 2024 @ 12:01 PM