PEMILIK Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim. -FOTO NSTP
PEMILIK Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim. -FOTO NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim memberi peringatan bahawa individu memiliki banyak wang namun tidak menggunakan akal fikiran untuk berbelanja belum tentu mampu membina 'empayar' besar dalam bola sepak.

Menerusi perkongsian di Instagram miliknya, Tunku Ismail memberikan contoh Presiden kelab gergasi Itali, Inter Milan, Steven Zhang yang memiliki banyak wang dan pada masa sama bijak menguruskan kelab hingga mampu mencatatkan beberapa kejayaan selepas mengambil alih pasukan itu.

"Kalau ada duit tak ada otak tak guna juga. Ini contoh bukti ada duit dan ada kepala otak," tulis Tunku Ismail di laman sosial Instagram miliknya.

Mengikut rekod, Zhang yang mewakili Suning Holdings adalah pemilik majoriti saham Inter Milan dengan bertindak melangsaikan semua hutang sebaik dilantik sebagai Presiden kelab itu.

Zhang melantik legenda kelab berasal dari Argentina, Javier Zanetti sebagai naib presiden Inter dengan meletakkannya sebahagian daripada pentadbir kelab selain turut melantik beberapa individu yang berpengalaman lain untuk menguruskan pasukan itu.

Keputusan itu, menyaksikan kelab mengakhiri kemarau Serie A pada musim 2020-2021 selain turut menjulang Coppa Italia seterusnya berpeluang menjulang Liga Juara-Juara Eropah (UCL) apabila mara ke final selepas menewaskan musuh setempat AC Milan di peringkat separuh akhir.

Era Zhang juga turut menyaksikan nilai kelab naik sebanyak 41 peratus kepada £692 juta (RM3.4 bilion) pada 2019.

Mengikut rekod, sejak Tunku Ismail memimpin JDT turut menyaksikan juara sembilan kali berturut-turut itu kekal sebagai skuad paling bernilai tinggi dengan nilai pasaran keseluruhan pemain mereka berjumlah RM43 juta.

Di pentas Asia, JDT adalah satu-satunya pasukan dari Malaysia yang beraksi di Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan musim lalu mereka berjaya mencipta sejarah mara sehingga peringkat 16 pasukan terbaik.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Mei 2023 @ 2:39 PM