ZANETTI dijangka akan menghadiri perlawanan Piala Sumbangsih antara JDT menentang TFC. FOTO Sempreinter
ZANETTI dijangka akan menghadiri perlawanan Piala Sumbangsih antara JDT menentang TFC. FOTO Sempreinter
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Bekas bintang Argentina, Javier Zanetti dijangka bakal hadir menyaksikan aksi Piala Sumbangsih antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Terengganu FC (TFC) di Stadium Sultan Ibrahim pada 24 Februari ini.

Perkembangan itu disahkan JDT dalam satu kenyataan di laman Facebook mereka sambil memberitahu ahli Lembaga Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan UAE yang juga Bendahari Persekutuan Judo Antarabangsa, Naser Al Tamimi dan ejen bola sepak terkenal, Morris Pagniello turut akan berkunjung ke kelab itu.

"Semua tetamu ini akan menghadiri perlawanan Piala Sumbangsih menentang Terengganu di Stadium Sultan Ibrahim pada 24 Februari dan akan mengunjungi Pusat Latihan JDT dalam rangka lawatan mereka ke Johor Bahru.

"Selain dari mengunjungi Harimau Selatan, lawatan ini juga bertindak sebagai peluang untuk melakukan kerjasama antarabangsa dengan rakan kongsi ternama dari seluruh dunia," kata kelab itu.

Untuk rekod, JDT pernah menjulang Piala Sumbangsih sebanyak tujuh kali dan memegang status juara bertahan lima tahun berturut-turut sejak 2018.

Bagi aksi kali ini, skuad Harimau Selatan turut menjadi pasukan pilihan untuk menjulang trofi berkenaan yang turut dikenali sebagai Piala Sultan Ahmad Shah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Februari 2023 @ 2:44 PM