JARINGAN tunggal Fernandes (kanan) membolehkan United mencatat kemenangan 1-0 ke atas Southampton. FOTO Reuters
JARINGAN tunggal Fernandes (kanan) membolehkan United mencatat kemenangan 1-0 ke atas Southampton. FOTO Reuters
AFP

Southampton: Manchester United meneruskan kebangkitan apabila jaringan Bruno Fernandes membolehkan mereka mencatat kemenangan 1-0 ke atas Southampton sebentar tadi.

Skuad kendalian Erik ten Hag itu menduduki tangga terbawah Liga Perdana Inggeris selepas tewas dua perlawanan pembukaan menentang Brighton dan Brentford.

Tetapi United kembali pulih daripada permulaan memalukan itu untuk memperoleh kemenangan liga kali kedua berturut-turut buat kali pertama sejak Februari.

Fernandes menjaringkan gol dengan rembatan cantik pada awal separuh masa kedua dan ia adalah gol pertama pemain tengah Portugal itu musim ini sekali gus mengangkat United ke kedudukan keenam.

Ten Hag menamakan kesebelasan utama yang sama yang ketika menewaskan Liverpool 2-1 Selasa lalu dan ini bermakna bintang mereka Cristiano Ronaldo dan kapten, Harry Maguire kedua-duanya berada di bangku simpanan.

Ronaldo, yang berminat untuk meninggalkan Old Trafford sebelum jendela perpindahan ditutup pada 1 September, masuk pada 20 minit terakhir.

Casemiro membantu United untuk mengesahkan kemenangan ketika pemain tengah Brazil itu membuat penampilan sulung sebagai pemain gantian ketika aksi berbaki 10 minit.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Ogos 2022 @ 9:44 PM