JUMPEI melayangkan kad merah kepada pemain negara ketika menentang Vietnam.
JUMPEI melayangkan kad merah kepada pemain negara ketika menentang Vietnam.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Insiden penalti dan layangan dua kad merah babitkan pengadil dari Jepun, Jumpei Iida bukanlah baharu apabila sebaliknya dia pernah terbabit dalam beberapa kontroversi sebelum ini.

Berdasarkan semakan di laman sosial, pengadil berasal dari Kanagawa, Jepun itu pernah mencatatkan rekod di Jepun apabila melayangkan kad merah terpantas dalam sejarah bola sepak negara itu, malah di dunia juga.

Difahamkan, pengadil berusia 41 tahun itu melayangkan kad merah kepada pemain tengah Tokyo Verdy, Tomo Sugawara dalam aksi Liga Jepun pada 15 April 2009 lalu.

Dia hanya mengambil masa sembilan saat sebaik perlawanan dimulakan untuk 'membuang' Sugawara sekali gus muncul pemain paling pantas diarahkan keluar padang.

Keputusan berkenaan nyata menimbulkan perbualan hangat dalam kalangan peminat dan pemerhati bola sepak di Jepun dan di dunia kerana keputusan layangan kad merah itu cukup pantas, ketika ramai berpendapat sepatutnya kad kuning diberikan terlebih dulu.

Justeru, tidak hairan mengapa skuad bawah 22 (B-22) tahun negara juga menjadi 'mangsa' pengadil itu apabila menghadiahkan sepakan penalti seawal minit ketujuh, ketika jelas bola yang terkena tangan pemain negara itu tidak disengajakan.

Malah, dua layangan kad merah kepada dua pemain negara di hujung babak kedua juga menimbulkan persoalan peminat tempatan.

Begitupun di sebalik beberapa keputusan kontroversi oleh Sugawara itu, dia juga pernah diberi pengiktirafan mengendalikan aksi besar babitkan pertemuan persahabatan antara Liverpool dan Melbourne Victory di depan kira-kira 95,000 penyokong di Melbourne pada 2013.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Mei 2023 @ 3:38 PM