DM/Twitter

MIKE Dean mencatat sejarah muncul pengadil Liga Perdana Inggeris (EPL) pertama mencapai angka ke-100 layangan kad merah terhadap pemain sepanjang 19 tahun kariernya.

Pengadil kontroversi itu melayangkan kad merah terbarunya selepas kad kuning kedua diterima oleh Ashley Young ketika Manchester United tewas 2-1 kepada Wolves Molineux, awal pagi tadi.

Dean, 50, turut mencapai dua angka musim ini apabila Young menjadi pemain ke-10 diarah keluar padang musim ini dan angka itu lebih tinggi berbanding mana-mana pengadil EPL yang lain.

Tiada pengadil lain mengarahkan lebih 67 pemain EPL keluar padang sekaligus meletakkan Dean dalam liganya tersendiri.

Peniup wisel berasal dari Wirral, terletak 290 kilometer dari London itu mengadili lebih banyak perlawanan berbanding pengadil lain.

Dean sudah mengendalikan 477 perlawanan setakat ini diikuti Martin Atkinson di tempat kedua, 373.

Malah angka kad merah itu memiliki jurang lebih jauh iaitu 50 peratus lebih tinggi berbanding kad gabungan yang dilayangkan oleh Phil Dowd dan Mike Riley.

Setakat ini, Atkinson paling dekat di belakang Dean yang mengarahkan 58 pemain meninggalkan padang dengan Andre Marriner yang masih aktif mengadili perlawanan melebihi 50.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2019 @ 2:35 PM