CRISTIANO Ronaldo.
CRISTIANO Ronaldo.
Agensi

Riyadh: Beberapa keputusan kontroversi daripada pengadil membuatkan bintang Portugal, Cristiano Ronaldo 'naik angin' dan membuat isyarat meminta Piero Maza digantikan dengan pengadil lain.

Dalam aksi pusingan 16 terbaik Piala Raja Juara-Juara di Riyadh itu, Maza yang juga pengadil import dari Chile gagal mengawal perlawanan dengan beberapa layangan kad kuning dan merah mewarnai pertemuan itu.

Pada perlawanan itu, Ronaldo dan rakan sepasukannya menang dengan melakar kemenangan tipis 1-0 ke atas Al-Ettifaq sekali gus membawa Al-Nassr ke pusingan berikutnya.

Pemenang lima kali Ballon d'Or itu pada mulanya berang dengan keputusan pengadil yang membatalkan jaringan rakan sepasukannya, Talisca selepas merujuk kepada VAR.

Maza sekali lagi membuat keputusan kontroversi membabitkan Talisca dengan melayangkan kad kuning dan kemudian menukar kepada kad merah selepas pemain Brazil itu mengasari lawan dengan tangannya.

Ronaldo turut menerima kad kuning di babak pertama kerana membantah keputusan pengadil yang tidak memberikannya sepakan percuma.

Dia hampir dilayangkan kad kuning kedua kerana sekali lagi membantah keputusan pengadil.

Al-Ettifaq, yang dikendali Steven Gerrard, juga terpaksa bermain dengan 10 orang apabila Ali Hazazi dibuang padang kerana kekasaran yang menyebabkan pergaduhan di antara kedua-dua pasukan.

Sadio Mane menjaringkan gol kemenangan dalam masa kecederaan untuk membawa Al-Nassr ke peringkat suku akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 November 2023 @ 10:46 AM