SKUAD JDT berwajah baharu musim depan.
SKUAD JDT berwajah baharu musim depan.
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli berpendapat pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) tetap akan tampil dengan garang dalam saingan Liga Super musim 2024/2025 nanti.

Menurutnya, biarpun Harimau Selatan melepaskan sebahagian pemain termasuk meminjamkan kepada pasukan lain, mereka tetap akan menjadi lawan yang sukar kepada pasukan lain.

"Saya nampak JDT akan tetap jadi pasukan terkuat. Kita tidak tahu apa perancangan mereka tapi saya pasti JDT akan melengkapkan pasukan mereka dengan pemain terbaik.

"Sekarang ini pemain yang ada dan sudah pasti saya nampak walaupun JDT kata tahun depan mereka sebagai pasukan underdog tapi saya rasa kekuatan tidak banyak berubah," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Selain itu, beliau turut menyeru agar setiap pasukan di Liga Malaysia ini untuk melakukan persiapan lebih rapi agar dapat mewujudkan satu liga yang mempunyai persaingan daripada semua pasukan.

"Setiap pasukan perlu memantapkan dan mengukuhkan kekuatan pasukan masing-masing dan tidak perlu mengambil JDT sebagai satu petanda aras untuk Liga Super sebab JDT memang level dia dah lain serta tahap lebih tinggi.

"Setiap pasukan harus merapatkan jurang sebab kita nak tengok satu liga yang lebih kompetitif membabitkan banyak pasukan. Kita tidak mahu hanya ada dua tiga pasukan saja yang beri saingan kepada JDT tetapi pasukan lain juga perlu memantapkan pasukan untuk jadi pencabar," katanya.

Terdahulu Arena Metro melaporkan, pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim memaklumkan mereka akan tampil selaku pasukan 'underdog' (bukan pilihan) pada musim depan.

Harimau Selatan melepaskan sebahagian barisan kejurulatihan termasuk ketua jurulatih Esteban Solari dan pemain veteran kerana mereka melakukan transformasi yang memperlihatkan kelab mengurangkan perbelanjaan sehingga 30-40 peratus disebabkan keperluan untuk penstrukturan semula kewangan bagi memastikan kelangsungan jangka panjang kelab.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Disember 2023 @ 3:47 PM