TMJ SAHKAN bakal merekrut bintang kelahiran Amerika Selatan. -FOTO NSTP
TMJ SAHKAN bakal merekrut bintang kelahiran Amerika Selatan. -FOTO NSTP
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Penguasaan Johor Darul Ta'zim (JDT) selama sedekad dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) dijangka berterusan pada musim depan apabila seorang pemain bintang daripada lima tonggak baharu bakal menyertai skuad Harimau Selatan selepas ini.

Perkara itu disahkan pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mengakui pihaknya bakal merekrut bintang kelahiran Amerika Selatan bagi memperkukuhkan pasukan itu musim depan.

Walaupun tidak menyatakan nama pemain itu, difahamkan tonggak tengah kelab San Lorenzo yang beraksi di liga utama Argentina iaitu Jalil Juan Elias sebagai sasaran terbaharu juara 10 kali berturut-turut Liga Super itu.

Menurut Tunku Ismail dalam program bual bicara bersama stesen televisyen swasta tempatan baru-baru ini, pemain bertaraf bintang itu adalah aset terbaharu dengan empat lagi tonggak turut menyertai pasukan itu.

"Saya sudah ada perancangan bagi musim 2024. Sebagai contoh, kami melihat ada beberapa posisi yang kami (JDT) perlu perbaiki. Kami sudah pun sedia maklum mengenai pemain-pemain yang kami inginkan pada musim depan.

"Sekarang ini persiapan sekitar 85 hingga 90 peratus. Saya akan pastikan persiapan pasukan selesai menjelang akhir tahun ini," kata Tunku Ismail.

Selain itu, beliau mengesahkan ayam tambatan JDT, Bergson da Silva akan kekal bersama pasukan sekali gus menolak dakwaan bakal meninggalkan kelab itu.

"Sudah tentu kontrak Bergson akan disambung dan kekal bersama JDT musim 2024 serta kebanyakan pemain turut kekal bersama pasukan JDT. Cuma ada beberapa pemain yang kita akan ganti untuk skuad 'depth' JDT musim depan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Oktober 2023 @ 1:14 PM