TIGA pemain KL City cuba menyekat kelincahan pemain JDT  Leandro Velazquez .
TIGA pemain KL City cuba menyekat kelincahan pemain JDT Leandro Velazquez .
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pasukan Liga Super bukanlah 'cap ayam' atau terlalu lemah hingga sukar untuk mengalahkan Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam saingan domestik.

Sebaliknya, pemilik JDT Tunku Ismail Sultan Ibrahim menjelaskan pasukannya melakukan persiapan rapi dan mengambil pemain berkualiti untuk memastikan skuad Harimau Selatan berada pada tahap optimum.

Malah, Tunku Ismail juga menafikan pasukan Liga Super lain tidak mampu memberikan tentangan apabila bertemu JDT dalam saingan Liga Super.

"Semua pasukan bukannya tidak kuat, tapi pada hari perlawanan itu kita lebih 'perform' (beraksi baik) daripada pasukan satu lagi.

"Bukannya tiada tentangan tapi kami buat persiapan rapi, mempunyai strategi tersendiri. Macam saya kata persiapan kunci kejayaan dalam bola sepak.

"Dalam bola sepak apa pun boleh berlaku..kita boleh kalah dan menang. Bukan tiada tentangan tapi kita buat persiapan lebih berbanding pasukan lain," katanya.

Sebelum itu, JDT berjaya menjulang Piala FA buat dua musim berturut-turut selepas menewaskan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) 2-0 dalam aksi final di Stadium Sultan Ibrahim Sabtu lalu.

Kejayaan itu cukup manis apabila diraih di hadapan penyokong JDT tatkala beraksi di gelanggang keramat pasukan itu yang terpaksa menanti dua jaringan terhasil pada babak kedua dan ia juga kejuaraan ketiga selepas menang pada musim lalu dan musim 2016.

Selain itu, Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) turut menafikan JDT terlalu kuat hingga sukar pasukan lain mencipta kemenangan bertemu skuad berpengkalan di selatan tanah air itu.

"Kalau kita tengok Terengganu sebelum ini kuat tapi apabila mereka buat beberapa perubahan jadi kurang stabil. Kedah pula adalah pasukan baru bukannya asal kuat.

"Jadinya, kestabilan di situ menyaksikan ada beberapa pasukan terjejas. Bukan JDT terlampau kuat tapi daripada segi prestasi JDT berdasarkan kepada persiapan kami,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Julai 2023 @ 4:47 PM