HAMIDIN (kiri) bersama Ismail Sabri dan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam menyaksikan perlawanan Malaysia dan Bangladesh, malam tadi. FOTO AIZUDDIN SAAD
HAMIDIN (kiri) bersama Ismail Sabri dan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam menyaksikan perlawanan Malaysia dan Bangladesh, malam tadi. FOTO AIZUDDIN SAAD
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menzahirkan ucapan terima kasih kepada Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang meletakkan tanda aras tinggi buat bola sepak negara.

Beliau berkata, kejayaan pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT) itu memacu skuad Harimau Selatan layak ke Liga Juara-Juara Asia (ACL), menjuarai Piala AFC pada 2015 serta mendominasi saingan Liga Malaysia sejak 2014 harus menjadi contoh buat semua kelab di negara ini.

"Dan saya perlukan nyatakan sokongan kuat di belakang tadbir Tunku Mahkota Johor (Tunku Ismail) walaupun mungkin ada peminat ada persepsi lain, tapi kita suka tak suka, saya telah bercakap dengan Tuanku, yang kita dah mengikut untuk kelab JDT pertama kalinya layak (ke pentas Piala Asia) dan ini pun dah kira lama juga.

"Jadi kemajuan mana-mana kelab kita buat ini dan saya tengok banyak pun pasukan dan kelab lain sudah hampir meningkat untuk mengikut corak JDT.

"Dan mungkin dari Selangor, Kedah untuk melahirkan pemain berkualiti dan infrastruktur yang bagus," katanya pada sidang media sejurus tamat aksi Malaysia menentang Bangladesh di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Kejayaan skuad Harimau Malaya menamatkan badi selama 43 tahun ke Piala Asia turut didorong pengalaman 13 pemain JDT yang berada dalam skuad negara ketika ini.

JDT turut mencipta sejarah pada April lalu selepas melepasi peringkat kumpulan ACL buat pertama kali dalam sejarah kelab itu, malah ia pencapaian gemilang kelab bola sepak dari Malaysia.

"Saya perlu mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada semua kelab yang dapat melahirkan pemain, walaupun mungkin sebahagiannya tak ada di sini.

"Bukan semua kelab dapat melahirkan pemain dan berada dalam pasukan (kebangsaan), tetapi mereka bersaing dan sudah tentu dekat sini kita lihat JDT banyak menyumbang daripada jumlah pemain.

"Kita perlu melihat yang lain tentang MFL (Liga Bolasepak Malaysia) yang sudah memberi sokongan kepada pemain atau pasukan dan saya ingin ucapkan terima kasih kepada kelab ini," katanya yang turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang datang memberi sokongan di stadium.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Jun 2022 @ 8:36 PM