HAMIDIN (dua dari kiri) menyatakan kemungkinan MFL yang masih berhutang dengan Tunku Ismail. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
HAMIDIN (dua dari kiri) menyatakan kemungkinan MFL yang masih berhutang dengan Tunku Ismail. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur "Tak ada…saya tak pasti kita ada hutang atau tidak".

Demikian jawapan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin yang mengakui badan untuk itu tidak berhutang dengan pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Sebaliknya, Hamidin menyatakan kemungkinan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang masih berhutang dengan Tunku Ismail.

Kata Hamidin, hutang berkenaan berkaitan tentang wang kemenangan yang diraih JDT yang mungkin masih mempunyai baki tunggakan untuk dijelaskan kepada kelab itu.

Begitupun, jumlah tunggakan itu mungkin semakin menyusut apabila Hamidin mengakui MFL sudah cuba menyelesaikannya secara berperingkat.

"Saya rasa, pandangan saya mungkin MFL…mungkin ada sedikit hadiah kemenangan yang belum dilunaskan.

"Tapi saya rasa mungkin hampir dilunaskan…saya rasa. Tapi dengan FAM tak ada.

"Mungkin kelewatan membayar wang kemenangan, tapi ia mungkin dah dijelaskan, mungkin boleh semak dengan Datuk Ab Ghani (Presiden MFL)," katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediamannya, hari ini.

Sebelum ini, Tunku Ismail berharap denda ekoran aktiviti pembakaran suar di Stadium Sultan Ibrahim selepas perlawanan dapat ditolak daripada hutang lama FAM kelas pasukan itu.

Ia dinyatakan oleh Tunku Ismail selepas beliau mengakui JDT bakal dikenakan denda selepas tiga kali membakar suar dalam saingan Liga Super.

Terdahulu, penyokong tegar JDT iaitu Boys Of Straits (BOS) membakar suar selepas perlawanan yang sebenarnya melanggar peraturan Artikel 70.1 Kod Tataterbit FAM yang melarang penyokong membawa masuk barang larangan ke dalam stadium.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 April 2023 @ 3:42 PM