SAFAWI berusaha sebaik mungkin dengan tidak menjadikan Ramadan sebagai isu. FOTO Ihsan Ratchaburi FC
SAFAWI berusaha sebaik mungkin dengan tidak menjadikan Ramadan sebagai isu. FOTO Ihsan Ratchaburi FC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pemain yang beraksi dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) terutama yang beragama Islam beruntung kerana jadual perlawanan dan latihan diubah pada sebelah malam selepas selesai solat sunat Tarawih sepanjang bulan Ramadan.

Namun situasi itu tidak berlaku dalam Liga Thailand apabila kebanyakan perlawanan berlangsung pada sebelah petang begitu juga latihan bagi sesebuah kelab sekali gus menyaksikan pemain yang berpuasa terpaksa melalui cabaran yang hebat terutama membabitkan soal kecergasan.

Situasi ini yang perlu dilalui pemain sayap skuad Harimau Malaya meningkat naik, Safawi Rasid yang kini berkelana ke negara Gajah Perang dengan menyarung jersi kelab Ratchaburi FC.

Bagaimanapun pemain berusia 26 tahun kelahiran Dungun, Terengganu itu menjelaskan walaupun Ramadan pada tahun ini sedikit berbeza, tapi sebagai pemain profesional, ianya bukan menjadi masalah besar buat dirinya yang baharu pertama kali berhijrah ke luar negara.

Bagaimanapun pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) yang ditemani isteri di perantauan, Syifa Melvin akui perlu menukar 360 darjah jadual hariannya terutama pada bulan Ramadan selain perlu menyesuaikan diri dengan cepat ketika sesi latihan mahupun perlawanan pada sebelah petang.

"Sejujurnya semuanya okay di sini (Thailand) walaupun pada bulan Ramadan, tapi kami berlatih pada waktu petang, jadi ia agak memenatkan, begitu juga kebanyakan perlawanan berlangsung pada sebelah petang ketika saya berpuasa.

"Tapi ia bukan menjadi isu besar kepada saya yang berpuasa, lagipun sebagai pemain profesional saya perlu menerima situasi ini dan perlu ubah gaya dan cara pada bulan ini terutama membabitkan pemakanan yang cukup dan bersesuaian agar sentiasa cergas dan bertenaga ketika hari perlawanan.

"Namun untuk kecergasan sepenuhnya ketika perlawanan agak sukar buat mana-mana pemain yang berpuasa, tapi saya berusaha sebaik mungkin dengan tidak menjadikan Ramadan sebagai isu, sebaliknya persediaan diri kita sendiri dari segi makanan waktu sahur dan berbuka serta latihan ringan pada waktu pagi untuk kekal fokus," kata pemain yang memulakan karier profesional bersama kelab T-Team di Terengganu.

Ketika ditanya apa menu atau kuih-muih Malaysia yang menjadi kegemarannya pada bulan puasa, Safawi tanpa berselindung gemar popia sayur dan donut selain suasana di bazar Ramadan yang cukup meriah pada setiap petang membuatkan dia bagaikan tidak sabar untuk pulang.

Berdasarkan rekod, sepanjang menyertai kelab itu dalam 10 penampilan setakat ini, Safawi berjaya menyumbat satu gol ketika pasukannya berdepan Chonburi FC pada 19 Mac lalu sehingga diangkat pemain terbaik minggu berkenaan.

Kejayaan Safawi perlu dijadikan idola buat pemain lain untuk mencuba nasib bersama kelab luar negara sekali gus mampu menaikkan lagi prestij pemain negara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 April 2023 @ 1:30 PM