Iskandar bijak bahagi masa   belajar, berlatih di bulan Ramadan.
Iskandar bijak bahagi masa belajar, berlatih di bulan Ramadan.
Oleh Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Kehidupan pemegang rekod kebangsaan acara lompat bergalah, Iskandar Alwi di bulan Ramadan ibarat 'berperang' kerana dia perlu bijak membahagikan masa antara tiga perkara iaitu berpuasa, latihan dan belajar.

Kedatangan Ramadan kali ini sangat mencabar buat atlet kelahiran Johor itu. Bukan saja perlu menahan lapar dan dahaga tapi harus berhati-hati agar tidak berlaku situasi seperti dikejar tak dapat yang dikendong keciciran.

Ketika ditemui Arena Metro pada Grand Prix (GP) Olahraga Terbuka Malaysia baru-baru ini, atlet berusia 27 tahun itu berkata perbincangan dengan pensyarah dan jurulatih harus dilakukan dengan teliti agar dia mampu membahagikan masa sebaiknya.

"Memang saya berbincang dengan pensyarah terlebih dulu. Begitu juga bersama jurulatih mengenai waktu latihan. Tiga benda saya harus lalui kali ini, berpuasa, belajar dan berlatih," katanya yang meraih gangsa di Sukan Sea Filipina 2019.

Sebut mengenai ibadah puasa, Iskandar mengimbau kembali kenangan tahun lalu, di mana semuanya dilakukan di rumah iaitu latihan dan belajar berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Kali ini saya harus bijak mencongak waktu agar dapat menjaga tahap fizikal dan mental dari pagi sampai ke petang," katanya yang menganggap perkara berkenaan sebagai satu rahmat bukannya kekangan.

Dia yang mengambil jurusan Diploma Pascasiswazah Pendidikan (DPP) dan memasuki semester kedua mengakui aktiviti pada Ramadan hanya tertumpu kepada amal ibadat bersama isteri di rumah termasuk menunaikan solat Tarawih.

"Jadi tidak ada masa buat saya untuk melakukan aktiviti lain di bulan Ramadan, sama ada berniaga ataupun sebaliknya. Pengajian saya juga bukan calang-calang sudah sama seperti tahap Master, setiap minggu ada kerja perlu disiapkan dan dihantar kepada pensyarah.

"Bagaimanapun, selepas mendirikan rumah tangga, semua aktiviti kebanyakan di rumah termasuk menunaikan Tarawih, sama saja kalau solat di mana sekali pun," katanya yang meminati juadah berbuka ayam masak kicap.

Dia yang meraih perak di Sukan Sea Myanmar 2013, juga tidak dapat melupakan kenangan berpuasa ketika zaman kanak-kanak.

"Dulu memang seronok kalau puasa dan raya cuti sekolah, jadi tidak ganggu aktiviti harian saya. Lepas sahur boleh sambung bermain permainan video dan tidur.

"Tapi kalau sebut puasa di zaman kanak-kanak teringat peristiwa bermain mercun papan sehingga melecur tangan saya. Berlaku masalah teknikal sedikit ketika hendak membaling mercun berkenaan sehingga melecur tapak tangan," katanya yang memilih roti john di Sungai Besi sebagai juadah wajib dibeli ketika berkunjung ke bazar Ramadan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 April 2021 @ 7:10 AM